Monday, February 2, 2009



ZAKAT DAN INFAQ:
HUBUNGAN DENGAN HARAKAH ISLAMIYYAH

بسم الله الرحمن الرحيم فأحســـن الــكلام كلام الله و أحســن الهدى هدى محمد صلى الله عليه و سلم ألا و إياكم و محدثات الأمور فإن شـر الأمور محدثاتها و كل محدثات بدعة كل بدعة ضلالة و كل ضلالة فى النار .

MUQADDIMAH .
Zakat dan Infaq adalah sebuah institusi yang berfungsi penting ke arah membina kekuatan luaran dan dalaman bagi sebuah Harakah Islamiyyah. Justeru zakat membekalkan keupayaan Maaliah (ekonomi) untuk melengkapi kekuatan yang diperlukan oleh sebuah Harakah Islamiyyah yang beraksi membebaskan ummah dari belenggu Jahiliyyah dan serentak itu berusaha membina Daulah Islamiyyah di atas runtuhan Jahiliyyah tersebut .
Kekuatan Maaliah antara pelengkap kepada kekuatan yang mesti disediakan oleh Harakah Islamiyyah berasaskan perintah Ilahi :
Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.
( Surah Al Anfaal – 60 )
Tanpa syak , bahawa Harakah Islamiyyah beroperasi di atas pengorbanan anggotanya yang memiliki kesedaran dan keinsafan untuk menegakkan Daulah Islamiyyah . Tanpa pengorbanan , Harakah Islamiyyah hanya wujud pada namanya sahaja dan tidak mungkin berjaya dalam operasinya. Mengharapkan pertolongan Allah swt. tanpa pengorbanan adalah suatu sikap yang sia – sia , kerana ia jelas bertentangan dengan sunnatullah dalam perjuangan ini . Sedang Allah memerintahkan setiap individu beriman supaya berjuang menegakkan kalimah Allah swt. dengan jiwa , tenaga dan harta mereka .

Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.
( At Taubah – 41 )

ZAKAT DAN INFAQ

Zakat adalah suatu hak yang diambil dari harta kekayaan tertentu dengan jumlah yang telah ditetapkan oleh syara’ pada waktu yang tertentu . Hukumnya adalah wajib dan ia adalah sebahagian dari rukun Islam yang lima . Berdalilkan firman Allah swt :

Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.
( Al Baqarah – 43 )
Infaq adalah suatu tanggungjawab perbelanjaan di atas rezeki yang dikurniakan Allah kepada mereka yang memerlukannya dan tanggungjawab tersebut menjadi bukti iman yang dimiliki oleh mereka . Ianya terbahagi kepada dua :
Bahagian 1 : Infaq sunat seperti sedeqah dan seumpamanya.
Bahagian 2 : Infaq wajib seperti zakat dan perbelanjaan ke atas tanggungan syara’ .

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka. Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat pangkat-pangkat yang tinggi di sisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpah kurnia yang mulia (di Syurga).
( Al An faal – 2- 4 )

KELEBIHAN DAN JANJI ALLAH KEPADA MEREKA YANG INFAQKAN HARTA KE JALAN ALLAH ( FI SABILILLAH )

Sebagai anggota Harakah Islamiyyah , sayugianya kita merasa terpanggil untuk menunaikan tanggungjawab membiayai perjuangan yang suci dan murni ini . Pembiayaan tersebut ( samaada dalam bentuk Zakat ataupun Infaq ) pasti sahaja mendapat ganjaran besar dan setimpal daripada Allah swt.

Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.
( Al Baqarah 261 )
Namun demikian , seperkara yang wajib disedari dan diinsafi oleh setiap individu pejuang bahawa pembiayaan mereka terhadap Harakah Islamiyyah bukanlah bersifat sukarela tetapi suatu tanggungjawab dan amanah yang wajib ditunaikan . Firman Allah swt:
Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
( Al Baqarah 195 )

ZAKAT ( INFAQ WAJIB ) UNTUK HARAKAH ISLAMIYYAH .

Harakah Islamiyyah adalah salah satu asnaf dari 8 asnaf [1] yang layak menerima zakat justeru misi dan visinya menepati prinsip Fi Sabilillah . Fii Sabilillah adalah demi kemaslahatan ummah guna melaksanakan urusan agama dan menegakkan Kerajaan Islam ( Daulah Islamiyyah )
Justeru itu , Harakah Islamiyyah yang berjuang untuk menegakkan daulah Islamiyyah dan menyelamatkan aqidah Ummah dikira menepati satu asnaf yang layak menerima zakat .[2] Ulama’ Fiqhiyyah telah menyenaraikan aktiviti berikut sebagai Jihad Fii Sabilillah di zaman ini .[3] ·
Mendirikan Markaz Tarbiyyah dan Da’awah Islamiyyah ·
Menyebarkan Kitab Islam untuk membaiki akhlak Muslimin ·
Membantu pejuang – pejuang Islam menegakkan kebenaran ·
Jamaah yang berusaha mengembalikan Hukum Islam ·
Kerja Jamae’I yang menyusun dan menyelaras matlamat bagi memastikan :

1. Pelaksanaan Nizamul Islami
2. Mendirikan Kedaulatan Islam
3. Mengembalikan Khilafah Islam
4. Membangunkan Islam dan da’awahnya ·
Memerangi Gerakan Jahiliyyah dan Ideologi modern. ·
Membebaskan bumi Ummat Islam dari hukum Kuffar yang menguasainya samada kafir Yahudi , Nasrani , Mulhidin dan mereka yang tidak beragama .

ANCAMAN ALLAH KEPADA MEREKA YANG ENGGAN MENGELUARKAN INFAQ FII SABILILLAH .

Anggota Harakah Islamiyyah yang menahan diri dari mengeluarkan Infaq di Jalan Allah sebenarnya berhadapan dengan ancaman Allah swt . sebagaimana firman Allah swt :
Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendita-pendita dan ahli-ahli ugama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (ugama Islam).
Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): "Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.
( At Taubah 34 – 35 )

PENUTUP .
Islam terbina di atas Lima Perkara asas[4] yang wajib ditunaikan oleh setiap individu . Mengabaikan salah satu darinya memberi erti Islam telah diruntuhkan olehnya. Lantaran itu , tidaklah selayaknya Islam diruntuhkan oleh seorang pejuang .
Alasan apalagi yang menyebabkan seorang pejuang teragak – agak untuk mengeluarkan Zakat dan menghulurkan Infaq kepada Harakah Islamiyyah yang mereka sertai. Apakah masih terlintas difikiran mereka untuk menyalurkan sumber asas ekonomi itu kepada pihak yang lain , sedangkan mereka menyedari pihak tersebut tidak bersikap adil dalam pengagihan zakat serta berlaku biadab terhadap agama Allah dengan menentangnya secara terbuka.
Kenapa tidak sang pejuang memusatkan pengumpulan zakat dan Infaq ke arah melengkapkan kekuatan dalaman dan luaran Harakah Islamiyyah demi menjayakan hasrat dan usaha membina Daulah Islamiyyah. Tidak Insafkah kita dengan sikap musuh – musuh Allah yang mampu memusatkan pengumpulan “infaq” mereka untuk menentang agama Allah .
Firman Allah swt : Sesungguhnya orang-orang kafir yang selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah, maka mereka tetap membelanjakannya kemudian (harta yang dibelanjakan) itu menyebabkan penyesalan kepada mereka, tambahan pula mereka dikalahkan. Dan (ingatlah) orang-orang kafir itu (akhirnya) dihimpunkan dalam neraka jahanam.
( Al Anfaal 36 )
Hj. Nasrudin bin Hj. Hassan At Tantawi
[1] 8 Asnaf tersebut ialah Amil , Riqab , Ibnus Sabil , Gharimin , Fii Sabilillah , Muallaf , faqir dan miskin .
[2] Rujuk Fiqhul Islam ( Juzuk 1 ) oleh Asy – Syeikh Yusuf Qardhawi .
[3] Rujuk Fiqhul Islam ( Juzuk 1 ) oleh Asy – syeikh Yusuf Qardhawi .
[4] بنى الإسلام على خمس : شـهادة أن لا إله إلا الله و أن محمدا رسول الله و إقام الصلاة و إيتاء الزكاة و الحج و صوم رمضـان . رواه البخاري و مســلم و غيرهما .


HAYATI DAN LAKSANA
5 PRINSIP
AMAL JAMAEI

dalam PAS .

Sebahagian dari usaha untuk memperkasakan PAS agar Islam yang menjadi asas dan dasar perjuangan dapat dilaksanakan dengan cemerlang , kita sewajarnya memastikan intima' atau penglibatan kita dengan PAS ini benar - benar dihayati bersama 5 prinsip Amal Jamaei .

5 Prinsip yang saya maksudkan itu ialah :

1. Iltizam

Memberikan komitmen yang tinggi terhadap setiap aktiviti amal Islami yang dianjurkan oleh PAS demi menjayakan gerakkerja pengkaderan atau pembinaan :

1. Aqidah yang sohih ,
2. Fikrah yang syumul
3. Syakhsiyyah yang soleh
4. Dakwah yang benar
5. Tanzim @ Organisasi yang mantap

Jangan abaikan setiap keputusan jamaah apalagi membuat keputusan yang bercanggah dengan apa yang telah diputuskan secara jamaei melalui prosedur mesyuarat yang sah . Pastikan juga kita tidak mengakibatkan aktiviti jamaah lumpuh atau terbiar dengan sikap yang acuh tidak acuh dalam menjayakannya .

Terapkan rasa wajib ke atas diri dalam menunaikan semua peraturan dan arahan jamaah yang tentunya untuk kepentingan perjuangan Islam yang suci dan bersih dari sebarang elemen yang bersifat kepentingan diri sendiri .

Rasa diri terpanggil untuk menyelesaikan apa jua tanggungjawab dan amanah perjuangan yang terbengkalai walaupun bukan kita pemegang amanah yang bertanggungjawab langsung terhadapnya .

2. Wala'

Kesetiaan dan kejujuran kita terhadap perjuangan Islam yang didokong dengan PAS sebagai platform untuk menjayakannya , lalu menggapai objektif dan matlamat .

Tidak berlaku curang atau tidak mengkhianati perjuangan dengan melakukan sesuatu yang bukan sahaja bercanggah dengan dasar perjuangan tetapi juga mendedahkan jamaah kepada risiko ekoran tindakan kita yang kurang berhati - hati seperti mengakibatkan kebocoran rahsia dan lainnya .

Jangan sekali - kali bermain kayu 3 dengan jamaah yang akhirnya mencetus dilemma dalam melaksanakan arahan pimpinan . Antaranya sikap menyertai 2 atau 3 jamaah sekali gus kononnya didirikan atas kefahaman bahawa yang penting ialah Islam bukan jamaah , maka boleh menyertai mana - mana jamaah yang mahukan Islam .

Tindakan ini membawa kepada pecah wala' lalu timbul pula 'fatwa' kononnya wala' tidak wajib kecuali kepada Allah dan Rasul demi menghalalkan tindakan mereka menyertai 2 atau 3 jamaah secara serentak .

Menyertai 2 atau 3 jamaah serentak sebenarnya menggangu proses pembinaan secara terancang dan mencetuskan kekeliruan fikrah serta membawa kepada dilemma dalam ketaatan dan komitmen . [ perbincangan panjang dan jelas telah saya tulis dalam kertas kerja saya yang bertajuk Ummah Centric : satu kekeliruan . ]

3. Dengar dan Taat.

Melancarkan misi dan operasi yang telah dirancang demi mencapai objektif dan matlamat perjuangan suci ini pastinya dengar dan taat adalah mekanisme yang tidak dapat tidak mesti dihayati dan dilaksanakan .

Kita tidak selayaknya mengklasifikasikan ketaatan kita kepada pimpinan dan jamaah selama mana ia tidak mengheret kita dan jamaah ke kancah maksiat dan mungkar . Sekalipun pemimpin yang mengeluarkan arahan hanya seorang junior atau pimpinan bertaraf cawangan , jika kita bertanggungjawab langsung dengan arahan tersebut maka hendaklah ianya dilaksanakan dengan penuh amanah .
4. Ukhuwwah fillah

Jalinan persaudaraan antara ahli PAS mestilah diikat dengan semangat berlapang dada , berbaik sangka , tawadhu' atau merendah diri antara satu sama lain , kasihkan saudara sebagaimana kita kasih kepada diri sendiri , mengutamakan kebaikan buat saudara kita mengatasi diri sendiri .

Eratnya jalinan antara ahli sesama ahli dan ahli dengan pimpinan membentuk benteng kukuh buat jamaah dari sebarang anasir yang merosakkan struktur kepimpinan dan pentarbiyahan jamaah .

Usaha dan aktiviti yang menumbuhkan kemesraan sesama ahli atau program yang menanam rasa kasih yang mendalam mestilah diberikan keutamaan . Justeru ukhuwwah yang terbina utuh antara ahli dan pimpinan akan meminimakan ruang khilaf dan menutup peluang krisis .

5. Tadhiyyah [ pengorbanan ]
Tiada perjuangan tanpa pengorbanan malah pengorbanan antara pra syarat kemenangan . Sukar untuk kita jayakan misi dan visi perjuangan besar ini tanpa pengorbanan semua pihak . Mengorbankan tenaga , harta benda dan nyawa demi perjuangan Islam ini sememangnya telah diwartakan oleh Allah dalam al Quran sebagai sunnah perjuangan sejak zaman Nabi saw.
Kegagalan berkorban memerangkap diri dan jamaah dalam kelemahan yang tidak mungkin boleh diatasi .
Terutama kita berjuang di era menang , kedengaran akhir - akhir ini suara yang mahu titik peluh dan penat lelahnya untuk perjuangan ini dibayar dengan imbuhan dunia . Tanpa imbuhan atau perolehan lumayan maka tiada tenaga jauh sekali nyawa untuk perjuangan . Ini satu musibah !
Pengorbanan adalah tuntutan perjuangan yang sama samaada sebelum atau selepas menang . Tanpa pengorbanan terlalu sukar untuk kita mencapai kemenangan sebagaimana jua tanpa pengorbanan pasti sahaja kemenangan yang dicapai tidak akan bertahan lama .
Ringkasan ini sebagai satu nota kecil buat petugas , ahli dan pimpinan PAS yang saya dedikasikan buat semua khasnya diri saya sendiri yang masih perlu dibimbing dan dibina dengan apa yang telah saya notekan di sini .
Saya harap perbincangan lanjut dibawa ke usrah atau liqa fikri berkait 5 prinsip amal jamaei ini dan dilengkapkan dengan nas qura'ani dan dalil sunni berasaskan manhaj perjuangan an nabawi .