Tuesday, February 3, 2009



PERJUANGAN DAN PENGORBANAN

DARI PERSPEKTIF WAHYU

"KEMENANGAN SEMANIS MADU MEMERLUKAN PENGORBANAN SEPAHIT HEMPEDU"


Hidup ini adalah sebuah perjuangan . Perjuangan memerlukan pengorbanan . Dua perkataan yang terlalu sinonim malah mesti wujud demi sebuah kejayaan dan kemenangan yang ingin dicapai . Bak kata hukama’

“ Kejayaan semanis madu memerlukan pengorbanan sepahit hempedu ”
Begitulah jua yang difirmankan oleh Allah swt :

Maksudnya : Berjuanglah kamu samaada ringan atau berat dan berkorbanlah dengan harta dan jiwa kamu di jalan Allah yang sedemikian itu adalah terlebih baik (kemenangan ) bagi kamu jika sekiranya kamu mengerti .
-Surah At Taubah:41 .

Sejarah kemenangan dan kegemilangan Islam di sepanjang zaman turut diwarnakan oleh perjuangan dan pengorbanan yang cukup hebat dan terbilang , menyaksikan bagaimana harta , tenaga , darah dan nyawa menjadi yuran berkualiti tinggi yang dibayar oleh para pejuang. Firman Allah swt :

Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang benar - benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.
-Surah Al Ahzaab:23.

Mereka yang berjuang dan berkorban demi kerana Allah dan ugamanya , pasti mereka mencapai kemenangan justeru inilah yang isytiharkan oleh Allah swt :

(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjuang pada jalan Allah dengan mengrbankan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. (menang)-

Surah At Taubah:20.

Muqaddimah ini melakarkan suatu yang jelas kepada kita bahawa kemenangan adalah suatu yang amat bernilai dan pastinya memerlukan kesungguhan dan pembiayaan yang mahal untuk mendapatkannya. Kesungguhan itu ialah PERJUANGAN dan pembiayaan itu ialah PENGORBANAN .

PERJUANGAN.

Islam merupakan cara hidup yang disyariatkan oleh Allah swt . kepada manusia . Ia adalah satu - satunya cara hidup yang menampilkan kesejahteraan , keadilan dan ketenangan untuk manusia sejagat dalam dua kategori penghayatan.
Pertama : Menganut , mengamal dan mendaulatkan Islam terpaksa BERJUANG menempoh mehnah dan ibtila’ (tribulas ) sebagai ujian kelayakan . Ujian - ujian ini datang dari Qadhi Rabbul Jalil dalam beberapa kedaan dan suasana .

Syaithan dan Naïfs syahwat.
Kaafirin , Musyrikin , Munaafiqin , Dholimin , Faasiqin dan Jaahilin.
Kesengsaraan dan penderitaan. (musibah /kematian)
Kekayaan dan kemewahan. (harta)
Ketakutan dan kegopohan.
Anak pinak, pasangan (suami atau isteri) dan kaum keluarga.

Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka.
-Surah Faathir:6.

Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari ugama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian); dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya). -

Surah Al Baqaarah:217.

Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang BERJUANG dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu. -

Surah Muhammad:31.

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: -

Surah Al Baqarah:155.

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjuang untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). -

Surah At Taubah:24.

Alif, Laam, Miim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.

-Surah Al Ankabuut:1- 3.

Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang BERJUANG dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?
-Surah Ali Imran:142.

Adakah kamu menyangka, bahawa kamu akan dibiarkan (dalam keadaan kamu yang ada itu), padahal belum lagi terbukti kepada Allah (sebagaimana yang diketahuiNya) orang-orang yang berjihad ( BERJUANG ) di antara kamu dan yang tidak mengambil teman-teman rapat (untuk mencurahkan rahsia kepada mereka), selain daripada Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman? Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu kerjakan.

-Surah At Taubah:16.

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).

-Surah Al Baqaarah:214.


ALQIADAH : TAKLIF LAA TASYRIF


Assalamualaikum , salam perjuangan buat semua. Kepimpinan adalah institusi terpenting bagi sebuah organisasi. Tidak ketinggalan bagi sebuah Gerakan Islam seperti Parti Islam Semalaysia ( PAS ).

Justeru itu , ia mestilah menjadi institusi yang paling kukuh dan mantap bagi memastikan dasar perjuangan dapat direalisasikan dengan baik dan menepati objektif serta matlamat perjuangan itu pula dapat dicapai dengan cemerlang.

Menjawat atau menyandang status sebagai seorang pemimpin dipelbagai peringkat parti mestilah dengan segala keupayaan dan kelayakkan yang diiktiraf oleh syara' , berpandukan petunjuk Al - Quran dan As - Sunnah.Kepimpinan ( Al Qiadah ) bukanlah satu kemuliaan atau kebanggaan ( tasyrif ) tetapi ia adalah tanggungjawab dan amanah ( taklif ).

Berasaskan realiti ini , janganlah sesiapa dikalangan ahli parti memanjat tangga kepimpinan ini dengan gopoh dan rakus. Perhatikan bilah bilah anak tangga dengan teliti dan cermat serta melangkahlah dengan tertib agar tidak termengah dan mencederakan diri sendiri mahupun orang lain .

Apatah lagi dalam keadaan permukaan anak tangga yang licin dan mudah tergelincir. Kesabaran dan kematangan dalam mengambil langkah dan memutuskan sikap adalah dua elemen penting yang dilihat mampu memperkasakan institusi kepimpinan ini.

Janganlah kita menjawat atau menyandang status kepimpinan dengan pengaruh pidato atau populariti , begitu juga tidak dengan pengaruh senioriti dan downline . Sebaliknya sandanglah melalui thiqah atau kepercayaan yang diberikan oleh ahli parti berasaskan kelayakan dan keupayaan syari'e.

Thiqah ini pula bukan dibina melalui penonjolan imej dan pembiayaan komunikasi kita dengan ahli ( kerana ia boleh dilakunkan aksinya menjelang muktamar yang ada pemilihan ) tetapi lahir dari kesungguhan berjuang dan keikhlasan berkorban .

Bertunjang pula di atas ketaqwaan yang tinggi dan Himmah yang berwibawa.Memberi laluan kepada yang layak memimpin dalam keadaan kita adalah calon popular adalah jauh lebih bermaruah daripada kita terus menandingi jawatan kepimpinan tersebut.

Tidak memegang jawatan bukanlah bermakna kita tidak boleh menyumbang kepada Islam dan parti yang memperjuangkannya.Demikian juga mengambil tanggungjawab sebagai seorang pemimpin setelah mendapat thiqah dari ahli dan jamaah adalah mempamerkan ia sebagai seorang pemimpin yang ada kesungguhan berjuang dan himmah yang berwibawa.

Muktamar parti adalah medan untuk bermuhasabah , mengatur strategi , memperkasakan dalaman parti , membina kader dan memberi amanah kepada yang berhak dan layak .

Muktamar jangan sekali kali dijadikan papan percaturan politik peribadi dan kelompok yang sangat dinilai hina oleh syara' .Perwakilan semestinya matang menilai dan memilih saf kepimpinan yang akan menerajui parti mengharungi badai perjuangan membelah episod cabaran baru dunia global hari ini.

Tidak didorong oleh sebarang sentimen yang asing dari apa yang kita pelajari melalui skima pentarbiyyahan parti , yang kita timba selama ini melalui usrah dan kuliah haraki di pelbagai peringkat.

Calon kepimpinan pula tidak meminta diundi atau dipilih dengan pelbagai penampilan dan lobi yang tidak berasaskan keupayaan dan kelayakkan sebenar. Justeru ia hanyalah hipokritisme yang akan merosakkan parti dan dirinya sendiri.

Semoga muktamar PAS tahun ini , akan menjanjikan satu muktamar yang bukan sahaja meriah pada sambutannya tetapi juga dilihat hebat dan perkasa menggarap perjalanan parti .

KETEGASAN
BERSAMA HUJJAH SYARIA’H


Keterbukaan & Ketegasan Di Dalam Menghadapi Idealisme Masa Kini


Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu. Islam adalah Minhajul Hayah.

Ia juga adalah Deen As Samawi yang diutus turun oleh Allah swt. Sebagai agama yang benar, maka ia diutus bersama “ Dustur ”, yang mengandungi enakmen atau akta wajib patuh.

Firman Allah swt: Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad ) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar)
( Surah Al Jathiyah. Ayat: 18 ).

Tiada satu bangsa pun di atas muka bumi ini hidup tanpa dustur, malah binatang juga mempunyai dustur dan tabiat tersendiri. Lembu tempatnya didalam kampung sementara Harimau pula tempatnya di dalam hutan. Seorang Muslim, dusturnya dinamakan Syariat.

Saudara & Saudari sekelian:

Islam telah menempa sejarah keagongannya. Suatu keagongan yang telah meninggalkan “ dendam kesumat ” di dalam dada musuh – musuhnya. Allah swt. telah mendedahkan:

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "
( Surah Al Baqarah. Ayat: 120 )

Bermula di sinilah, “ mata telinga ” musuh tak pernah lalai, bahkan senantiasa memasang jerangkap serta mengarahkan “ algojonya ” untuk memusnahkan insan yang menganut ajaran Islam setelah mereka tak pernah mampu untuk memusnahkan Syariat Allah swt.

Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).
( Surah As Saaf. Ayat: 8 )

Justeru itu, untuk memastikan Ummat Islam selamat, maka muslimin dan muslimat mesti “ berpegang kejap ” dengan Syariat Allah swt.

APAKAH SYARIAH ?

Definisi Syariah dapat difahami dengan mudah dan jelas melalui dialog rasmi seorang Ketua Negara bertaraf Rasul dengan Gabenornya Saiyidina Muaz ibnu Jabal rha. sebelum dihantar bertugas ke negara Yaman.

قال بِماَ تَقْضِى قال بِكِتَابِ اللهِ قال فإنْ لَمْ تَجِدْ قال بِسُنَّةِ رَسُوْلِ اللهِ قال فإنْ لم تجدْ قال أَجْتَهِدُ رَأْيِى وَ لاَ آلوُ ( أي لا أقصر ) فَضَرَبَ في صَدْرِهِ وَ قال الْحَمْدُ للهِ الذِّي وَفَقَ رَسُوْلَ رَسُوْلِ الله لما يرَضى رسولُ الله.

Rasulullah saw. bertanya: Dengan apakah kelak kamu akan berhukum, maka jawabnya: Aku berhukum dengan kitab Allah swt.Rasulullah saw. bertanya lagi: Jika sekiranya kamu tidak dapati nasnya di dalam Al Quraan ?

Lalu Muaz menjawab: Aku berhukum dengan Sunnah Rasulullah saw. Rasulullah saw. bertanya lagi: Jika tidak juga kamu dapati nasnya di dalam Sunnah ? Lalu Muaz menjawab: Aku akan berijtihad berasaskan ilmu tanpa menyeleweng.

Maka Rasulullah saw. menepuk dadanya lalu berkata: Segala puji bagi Allah yang memberi taufiq kepada utusan Rasulullah saw. dengan apa yang diredhoi oleh Rasulullah saw.

Saudara & Saudari sekelian:

Jelas kepada kita, bahawa Syaria’t Islam ialah Kitab Allah, Sunnah Rasulullah saw., Ijma’ dan Qias. Inilah Hujjah Syari’e. Lain dari empat perkara ini, ia bukan hujjah Syari’e. Suatu hal yang harus kita sedar, bahawa kini kita ditaqdirkan hidup di suatu zaman yang banyak perselisihan atau penyelewengan. Suatu zaman berlakunya huru-hara ideology. Zaman yang perlu kepada kod penyelesaian yang agong sebagaimana yang telah diisyaratkan oleh baginda Rasul saw.


Aku berwasiat kepada kamu supaya bertaqwa kepada Allah Azza Wa Jalla dan dengar serta taat sekalipun pemimpin yang dilantik dikalangan kamu hanyalah seorang hamba. Sesiapa yang masih hidup dikalangan kamu suatu masa kelak, ia akan menyaksikan perselisihan yang begitu ketara, maka wajib ke atas kamu di kala itu berpegang kepada Sunnah ku dan Sunnah Khulafa’ Ar Rasyidin yang mendapat petunjuk, genggamlah seerat-eratnya dengan geraham kamu.

Waspadalah terhadap perkara baru yang direka maka sesungguhnya perkara baru yang direka ( bida’ah ) adalah sesat. ( Hadis riwayat Abu Daud dan Tarmizi ) Saudara & saudari sekelian: Inilah zamannya. Zaman yang tersepit antara dua keadaan. Antara ummat yang jahil dan ulama yang lesu.

Syariat Allah swt. dijadikan bahan persendaan dan mainan, akhirnya ummat menderita menghidap penyakit “ kurang daya tahan Aqidah ”. Aqidah ummah kian tipis, senipis kulit bawang. Aqidah mereka boleh diperjual beli dipasaran gelap dan terbuka dengan harga yang murah. Kabus kejahilan terus meliputi mereka. Kini mereka kehilangan arah dan keliru antara “ Tindakan lawan dan Rayuan kawan.”

Dunia mempamerkan nasib ummat kini, Saudara mara kita di Pattani dihalau ke hutan belantara, dinafikan hak mereka sebagai seorang muslim. Saudara mara kita di Moro, menerima nasib yang sama. Masjid Babri dirobohkan di hadapan mata ummat Islam. maruah ibu, kakak dan adik kita di Bosnia dicabul ganas. Ya Rabbi Ya Allah.

Inilah yang berlaku ke atas ummat Islam !! Ummat Islam di Kashmir, turut menderita. Kaum lelaki disembelih disiksa, kuku mereka dicabut kejam, tubuh badan mereka dikelar, kemaluan mereka dikenakan kejutan elektrik dan mereka dikurung tanpa makanan. kaum wanita diperkosa beramai – ramai, pula mereka mengajar anjing – anjing garang untuk merogol wanita – wanita muslimah.

Mereka dimandikan dengan air dingin diwaktu subuh yang dingin di musim dingin. Ummat Islam di Palestin tidak kurang penderitaan yang mereka hadapi, angkara tindakan zalim dan kejam regim Yahudi Alaihi Laknatullah. Aktivis Islam ditangkap dan dikurung dalam bilik yang sangat sempit. Tidak boleh bangun dan tidak pula boleh duduk. Dalam ruang sedemikian mereka dikurung belasan tahun malah puluhan tahun lamanya. Kanak – kanak yang tidak berdosa dibedil tanpa simpati.

Ummat Islam yang sedang khusyu’ sujud kepada Allah turut menjadi sasaran peluru liar mereka.Tanah ummat Islam dirampas dan dijajah. Ummat Islam di Afghanistan jua berhadapan dengan situasi yang sama. Mereka menjadi mangsa kerakusan dan kebuasan nafsu kuasa besar dunia. Rumah kediaman mereka diletupkan dan kampung halaman mereka dimusnahkan.

Mereka dibunuh tanpa belas kasihan.

Negara kita turut menjadi saksi ke atas penderitaan yang di alami oleh ummat Islam. Apabila Ummat Islam yang menggabungkan diri mereka dengan gerakan Islam diburu, diugut, difitnah, ditangkap malah ada yang telah dibunuh seperti peristiwa yang berlaku di Lubuk Merbau dan Memali Kedah.

Saudara & saudari sekelian:

Ummat Islam kini sedang tenat lantaran syariat Allah di “tongsampah”kan oleh ummat Islam sendiri. Mereka menjadi lemah dalam jumlah mereka yang ramai, mereka menjadi bangsat di tanahair sendiri dan mereka menjadi hina ditengah kaum bangsa sendiri. Mereka termakan sumpah Saiyidina Omar Al Khattab rha. Apabila Omar pernah berkata:


نحنُ قومٌ أَعزَّنا اللهُ بالإسلامِ فَمَهْمَا نَبْتَغِ عِزَّ بِغَيْرِ ما أَعَزَّنا اللهُ أَذَلَّنا الله


Kita adalah suatu kaum yang diberi kekuatan oleh Allah dengan Islam, maka barangsiapa yang mencari kekuatan lain, selain dari apa yang telah dianugerahkan oleh Allah, maka tunggulah bala kehinaan daripada Allah swt. Kita tidak mempunyai pilihan lain untuk mengangkat semula martabat ummah melainkan bertindak pantas mengembalikan perlaksanaan Syariat Islam dikalangan Ummat Islam.

Mereka mesti dibangkitkan dari tidur yang terlalu lama. Bawalah ummah kembali menghayati Syariah Islam justeru syariatlah satu-satunya jalan keluar dari belenggu yang berpanjangan. Syariatlah menjadi petunjuk agar ummah menemui jalan keagongan yang pernah diraih oleh golongan terdahulu.

Dan (ingatkanlah tentang) hari Kami bangkitkan dalam kalangan tiap-tiap umat, seorang saksi terhadap mereka, dari golongan mereka sendiri; dan Kami datangkanmu (wahai Muhammad) untuk menjadi saksi terhadap mereka ini (umatmu); dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.
( Surah An Nahl. Ayat: 89 )

Demikianlah syariat diturunkan untuk menyelamatkan manusia dan memandu mereka ke jalan yang benar.

Saudara/i sekelian:

Ketegasan berpandukan hujjah syariah antara usaha untuk memastikan ummah kembali menatang syariah sebagai pedoman hidup mereka. Setiap tindak tanduk, lagak gaya hidup seharian mestilah dirujuk kepada hujjah – hujjah syari’e demi keberkesan tindakan kita sebagai hamba Allah swt.

Penggunaan nafsu atau aqal yang terpisah dari hujjah – hujjah syari’e, menjadi nokhtah bermulanya rosak binasa ummah didunia ini. Firman Allah swt.

Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang adanya. (Bukan sahaja Kami memberikan ugama yang tetap benar) bahkan Kami memberi kepada mereka Al-Quran yang menjadi sebutan baik dan mendatangkan kemuliaan kepada mereka; maka Al-Quran yang demikian keadaannya, mereka tidak juga mahu menerimanya;
( Surah Al Mukminun. Ayat: 71 )

Dunia hancur dan manusia menjadi bangsa yang sesat tanpa pegangan. Firman Allah swt:

Kemudian, kalau mereka tidak dapat menerima cabaranmu (wahai Muhammad), maka ketahuilah, sesungguhnya mereka hanyalah menurut hawa nafsu mereka; dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsunya dengan tidak berdasarkan hidayah petunjuk dari Allah. Sesungguhnya Allah tidak memberi pimpinan kepada kaum yang zalim (yang berdegil dalam keingkarannya).
( Surah Al Qasas. Ayat: 50 )

MADRASAH AQLANIYYAH
VS
HUJJAH – HUJJAH SYARIYYAH

Saudara/i sekelian:

Antara tugas utama kita ialah merobohkan “Madrasah Aqlaniyyah” yang wujud dikalangan ummat Islam hari ini, khasnya di negara kita. Kita dapat mengesan wujudnya “buruh kasar” yang sedang giat membina ‘madrasah aqlaniyyah’ ini.

Sebuah ‘madrasah’ yang mendidik ‘pelajar’nya menganut ideology ciptaan manusia dan membebaskan diri dari ikatan hujjah – hujjah syari’e yang diturunkan oleh Allah swt. ‘Madrasah’ ini melahirkan mereka yang berjiwa nasionalis, pragmatis, sosialis, sekularis dan sebagainya yang bercakap mengikut rentak Islam dan kadangkala ber‘irama’ gerakan Islam.

Sebagaimana yang berlaku sekarang, gerakan yang ‘perdu’nya dipelopori oleh sebahagian mereka yang pulang dari barat. Mereka memperkenalkan Islam kononnya Islam baru. cara baru dan sebagainya, padahal segalanya tidak lebih dari putar belit yang memualkan dari pihak orientalis untuk memesongkan hujjah dan fakta syariah.

Mereka memperkenalkan projek Islamisasi dan medernis Islam. Perlu diperingatkan, walau apa pun yang diperkenalkan oleh mereka, yang menjadi lampu ‘fluorescence’ untuk mengesan kepalsuannya ialah Hujjah – hujjah Syariah yang termaktub di dalam Al Quranul Karim dan Sunnah Nabinya saw.

Kita sewajarnya bertindak teliti kerana di sana ada orang yang sedap bercakap dengan menggunakan istilah – istilah Islam dan mempergunakan Islam untuk kepentingan peribadi dan kelompok mereka. Saudara/i sekelian: Pelbagai ideology yang timbul adalah implikasi daripada tiadanya ketegasan berpandukan hujjah – hujjah syariah.

Ideology ini adalah merupakan bidaah yang paling keji disisi Allah swt. Sebab berlakunya bidaah ini. Jahil mengenai sumber hukum syariah Istinbat ( mengambil ) hukum berasaskan nafsu. Mendahului aqal dalam mengambil syariat.

Justeru itu, dalam menangani perkembangan ideology yang bercanggah ini, kita mesti tegas memeranginya. Kita terbuka dalam menerima pandangan dan apa jua corak idea yang dikemukakan, tetapi kita mesti insaf bahawa prinsip kita ialah hujjah – hujjah syariah dalam menilai semua bentuk pemikiran yang dikemukakan. Kita jangan terpedaya dengan pandangan individu atau kelompok sehingga membelakangkan syariah Allah swt. Ingatlah utusan rasmi dari hadhrat ilahi:

Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan-apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara-(tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.
( Surah Al Ahzaab. Ayat 36 )



KONSEP SPIRITUAL DALAM HARAKAH ISLAMIYYAH


a] Hubungan erat dan taqarrub kepada Allah
b] Dakwah dan Aktiviti yang berterusan
( istiqamah dan thabat )
c] Harap dan Tawakkal kepada Allah swt.


Hubungan Erat dan Taqarrub kepada Allah swt.


1. Munajat .
2. Qiamullail dan Tilawatul Quran
3. Fikir dan Zikir
4. Qunut Nazilah
5. Solat Berjamaah
6. Infaq Fi Sabilillah


Dakwah dan Aktiviti yang berterusan ( Istiqamah dan Thabat )


1. Mengajar dan belajar
2. Dakwah Ammah ( ceramah Umum ) dan Ceramah kelompok
3. Dakwah Fardiyyah ( individu )
4. Program dalaman ( Mini tamrin , Usrah dll. )
5. Mesyuarat dan Dialog
6. Forum , seminar , konvensyen dll.

Harap dan Tawakkal kepada Allah swt.

1. Yakin / optimis terhadap kemenangan Islam .
2. Tidak sempit dada dan hilang pedoman .
3. Tenang dan berkarisma .
4. Tidak gopoh dan bertindak sendiri .
Firman Allah swt :
لَقَدْ نَصَرَكُمْ اللَّهُ فِي مَوَاطِنَ كَثِيرَةٍ وَيَوْمَ حُنَيْنٍ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنْكُمْ شَيْئًا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمْ الأَرْضُ بِمَا
رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُمْ مُدْبِرِين

Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.
( At - Taubah : 25 )

KENAPA SAYA MENYERTAI PAS ?


بسم الله الرحمن الرحيم


Muqaddimah :


Jawapan kepada persoalan ini adalah suatu perjuangan yang perlu diisytiharkan dengan prinsip dan keyakinan , justeru ia bukan penyertaan politik parti dan kuasa .

Seorang yang beriman wajib berjihad mempertahankan syariat Allah dan memelihara maruah ummah dari ancaman musuh . Parti Islam Semalaysia (PAS) merupakan platform untuk melunaskan tanggungjawab tersebut . Kenapa …


وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنْكَرِ
وَأُوْلَئِكَ هُمْ الْمُفْلِحُونَ


Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

( Ali - Imraan - 104 )

CIRI - CIRI PLATFORM JIHAD YANG WAJIB DISERTAI .


Jamaah yang menyakini bahawa Islam adalah satu - satunya kekuatan yang dapat membangunkan semula ummah , juga kembali membebaskan golongan musthad’afin dan menyelamatkan dunia daripada kehancuran Jamaah yang lahir dari kesedaran sendiri , tidak dipengaruhi oleh mana - mana pihak samaada timur mahupun barat .

Lahirnya kerana tuntutan Al - Quran dan Sunnah . Jamaah yang meyakini kesejagatan Islam dan memperjuangkannya secara menyeluruh . Jamaah yang memperjuangkan kebenaran secara amali ( tidak hanya teori semata - mata ) dan sanggup terjun ke medan daawah sekalipun mengambil risiko yang tinggi . Jamaah yang terdapat padanya keperibadian hizbullah .


يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَنْ يَرْتَدَّ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ولا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لائِمٍ ذَلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ إِنَّمَا وَلِيُّكُمْ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ وَمَنْ يَتَوَلَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا فَإِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمْ الْغَالِبُونَ


Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela.

Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya. Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah).

Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada ugama) Allah, itulah yang tetap menang.
( Al Maidah - 54 - 56 )


Cintakan Allah dan Allah cintakan mereka Merendah diri sesama mukmin Bersikap tegas terhadap orang - orang kafir Berjihad di jalan Allah tanpa takut pada celaan orang yang mencela Wala’ kapada Allah , rasul dan orang - orang yang beriman Mendirikan solat , menunaikan zakat dan senantiasa ruku` kepada Allah.


ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَى شَرِيعَةٍ مِنْ الأَمْرِ فَاتَّبِعْهَا ولا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَ الَّذِينَ لا يَعْلَمُونَ


Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).

( Al Jathiyaah - 18 )

Saya menyertai PAS kerana ………

1- PAS bersifat Rabbani dan syumul .

Rabbani : Islam sebagai dasar perjuangan. · Bercita - cita menegakkan Daulah Islamiyyah dan
melaksanakan hukum -hakam Allah . · Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara .

Syumul :
Memperjuangkan Syariah Islamiyyah yang merangkumi aspek politik , perundangan , hukum , sistem kemasyarakatan , pembangunan , ekonomi , hubungan antarabangsa , akhlak , tentera , pendidikan dan ehwal yang berkaitan dengan keperluan hidup manusia .


Membentuk tasawwur Islami yang jelas merangkai kehidupan di dunia dengan akhirat .

2. PAS sebagai Harakah Islamiyyah dan parti politik Islam .

Islam sewajibnya diperjuangkan , pembentukkan Harakah Islamiyyah adalah untuk menunaikan kewajiban tersebut .

· Kuasa politik adalah keperluan asas dan mutlak bagi merealisasikan perundangan Islam dan pembentukkan perlembagaannya .

· Mengambil ruang dalam sistem demokrasi berparlimen yang membenarkan penubuhan parti politik dan aktiviti penerangannya .


· Mengambil pendekatan perjuangan yang selamat dan aman . ( مواجهة سلمية )