Wednesday, February 11, 2009


KEPERKASAAN
MENJANA KEMENANGAN

Oleh :
Ust Nasrudin Hassan At Tantawi
Timbalan Ketua DPP Pusat

MUQADDIMAH

Alhamdulillah bersyukur kita kepada Allah s.w.t , kerana dengan limpah hidayah, qudrah dan inayahNya , diberikan keizinan untuk kita bertemu lagi pada hari ini.

Pertemuan kita kali ini , di samping sesekali menoleh ke belakang, ke kiri dan ke kanan, mencari iktibar , hikmah dan pengajaran, kita harus memfokuskan bola mata kita jauh ke hadapan untuk merenung arah tuju perjuangan.

Sesungguhnya pertemuan hari ini membawa kita menyingkap kembali pertemuan lebih 1400 tahun lalu , yang berlansung diantara golongan Muhajirin dan Ansar berasaskan nilai ukiran iman dan taqwa . Pertemuan yang menyaksikan bagaimana Baginda Rasul saw. mempertautkan gandingan mantap dikalangan mereka , berteraskan Ukhuwwah Islamiyyah dan semangat memperjuang serta mempertahankan Islam , sekaligus membentuk dan membina ummah yang bermartabat dan syariat yang berdaulat.

Kehebatan baginda Rasulullah S.A.W ini telah memberikan impak yang bukan sedikit dalam proses perjuangan Islam sepanjang zaman, sehingga lahirnya individu-individu Rabbani yang mampu memberikan sumbangan tidak ternilai kepada Islam.

Kesinambungan tugas memperjuangkan kesucian Islam ini telah diteruskan oleh Khulafa’ Ar –Rasyidin, para ulama dan auliya’ tanpa mengenal erti kesusahan , sehinggalah kepada rangkaian gerakan Islam di seluruh dunia dan kita PAS , alhamdulillah turut menjadi sebahagian daripada mereka yang menyambung lidah perjuangan Baginda Rasul saw.

Sedarilah wahai sahabat-sahabat sekalian Bahawa tugas yang kita pikul ini adalah tugas yang besar dan berat , iaitu menyambung tugas para nabi dan rasul as. Justeru itu hendaklah dilakukan tugas ini dengan bersungguh - sungguh dan dijadikan ia sebagai agenda utama dalam gerakkerja perjuangan kita.

Sementara matlamat utama perjuangan Islam yang kita dokong ini adalah untuk mendapat redha dan cinta Ilahi. Sejurus itu , marilah kita merenungi bagaimana syarat dalam penyata wahyu untuk mendapatkan redho dan cinta ilahi.

Firman Allah swt. dalam surah As-Shaff ayat 4,

Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berjuang untuk membela agamaNya, berjuang dalam satu Saff yang teratur rapi ,seperti mereka adalah sebuah bangunan yang tersusun kukuh”.

Ayat ini melampirkan syarat yang dikehendaki oleh Allah swt. untuk mendapatkan redho dan cintaNya. Iaitu Perjuangan yang diurus-perkasa secara sistematik ( munazzamah ) , terancang dan professional . Kecintaan Allah kepada kita dan perjuangan yang diurus secara munazzam ini pula, merupakan syarat untuk memperolehi pertolongan dariNya , manakala pertolongan dari Allah pula merupakan syarat untuk kita mencapai kemenangan.

Justeru itu marilah kita bermuhasabah dan muraqabah . Menilai dari pelbagai sudut perjuangan dan gerakan ini.

Muhasabah yang tidak sahaja menjurus kepada zat individu pimpinan dan anggota Dewan Pemuda semata – mata , tetapi juga terhadap perjalanan dan pengurusan Dewan Pemuda PAS Pusat , Negeri dan Kawasan .

Muraqabah yang tidak sahaja tertumpu kepada pengolahan isu semasa dan peluang yang timbul hasil kelemahan musuh semata – mata , tetapi juga terhadap strategi perjuangan, pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang serta pembinaan kekuatan pemuda yang mampu menyaingi cabaran zaman dan ancaman lawan.

Demi melayakkan kita menepati syarat yang dimaksudkan dan berkeupayaan menjana kemenangan buat perjuangan ini , penilaian yang dibuat hendaklah secara ikhlas , membina , telus dan seterusnya bersamalah kita bergabung tenaga secara optima untuk memperkasakannya.

KESATUAN KEFAHAMAN DAN TINDAKAN

Terlebih dahulu , marilah kita bermula dengan membina wehdatul feqh dan wehdatul amal ( kesatuan dalam kefahaman dan kesatuan dalam tindakan ) yang membentuk amal jamaie atau kerja berpasukan yang menjadi teras pemerkasaan Dewan Pemuda PAS Pusat , Negeri dan Kawasan selepas kita memiliki kekuatan aqidah dan ibadah.

Allah s.w.t berfirman dalam surah Yusuf ayat 108,

Katakanlah(wahai Muhammad): “ Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah(dari segala I’tikad dan perbuatan syirik): dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain ”.

Ayat ini menegaskan reality haluan perjuangan yang mesti kita tempoh dengan meletakkan diri dan arah tuju hidup diatas manhaj Nabawi secara basirah ( berasaskan kekuatan hujjah dan bukti naqli juga aqli ).

Perjuangan yang dibina oleh Rasulullah saw. ini , jelas berorientasikan dakwah ( penerangan ) yang bertunjangkan basirah . Basirah yang menuntut setiap pemuda memiliki kefahaman mendalam terhadap feqh islami ( Islamic knowledge ) yang kemudiannya direalisasikan ( amal islami ) di pentas perjuangan ini.

Feqh ( kefahaman ) dan amal ( gerakkerja ) islami yang wujud dalam Dewan Feqh ( kesatuan kefahaman ) yang jitu dan wehdatul amal ( kesatuan gerakkerja ) yang mantap. Kita sayugianya memanafaatkan seluruh jentera Dewan Pemuda untuk memastikan system penggarapan wehdatul feqh dan amal bukan sahaja menjadi kenyataan tetapi meningkatkan prestasi kepimpinan dan kualiti anggota Dewan Pemuda .

AKADEMIK KEPIMPINAN PEMUDA

Bagi mencapai nilai garap dan cerna yang maksimum terhadap wehdatul feqh dan amal ini , Dewan Pemuda PAS Pusat akan memastikan Kem Akademik Kepimpinan Pemuda akan siap ditubuhkan dan beroperasi dengan segala skima pengkaderan terancang pada tahun ini. ( Insyaallah , kita juga akan up gred operasi Akademik Kepimpinan Pemuda )

Semua peringkat Dewan Pemuda PAS Negeri , Kawasan termasuklah Jawatan Kuasa Pemuda PAS Cawangan , mesti bertindak dengan suatu tindakan yang berkuat kuasa serta merta untuk menjayakan Akademik Kepimpinan ini , lantas mengambil langkah yang pro aktif seperti :

1. Mengemaskini pengurusan organisasi dan data keanggotaan berasaskan pengamatan dan pengendalian sumber manusia yang efektif , serta menyenaraikan pemuda berpotensi tinggi untuk menggalas taklif kepimpinan parti pada sessi – sessi yang akan datang .


2. Memulihkan attitude ( sikap ) pemuda yang cepat berasa cukup dengan apa yang ada dan prejudis terhadap proses taghyir ( perubahan ) dan tajdid ( pembaharuan) , samaada dalam aspek yang melibatkan individu kepimpinan mahupun pengurusan objektif , jentera perlaksanaan dan arah tuju perjalanan Dewan Pemuda .


3. Memisahkan pemuda daripada tradisi tangkap muat dan bidang terjun ( menyandang jawatan pemimpin tanpa melalui proses pengkaderan dan skima pentarbiyyahan ) dalam kepimpinan Dewan Pemuda . Sebaliknya mereka yang layak dengan nilai amanah dan memiliki tahap upaya memimpin yang tinggi sahaja diberi laluan untuk menyandang post kepimpinan ini .


4. Melonjak tahap dan merangsang semangat berkorban harta , tenaga , kepentingan diri , darah , nyawa dan juga emosi .


5. Bersedia untuk ditarbiyyah dan mentarbiyyah , diarah dan mengarah , dipimpin dan memimpin.


KEPERKASAAN PENTARBIYYAHAN

Tarbiyyah adalah nadi kepada gerak usaha Dewan Pemuda untuk membina otot perkasa dalam setiap sendi organisasinya , guna mendepani cabaran dan ancaman musuh yang ternyata kian nekad.

Menyedari kepentingan tarbiyyah , maka penekanan yang serius wajib diberikan dalam persoalan ini. Menurut Al Imam As-Syahid Hassan Al Banna rhm, usrah merupakan tulang belakang kepada jamaah. Lantaran itu usrah wajib dijana dari peringkat bawahan hingga ke peringkat tertinggi dalam jamaah, dari peringkat taaruf hingga ke peringkat tanfiz dan dari peringkat cawangan hingga ke peringkat negeri bahkan pusat .

Perlaksanaan usrah juga, selain daripada kita dapat menjana kesatuan kefahaman , kita juga dapat menjana elemen - elemen yang penting dalam jamaah iaitu ukhuwah, kebajikan, perkaderan dan sistem perhubungan yang ringkas tetapi pantas (one button on system).

Melalui sistem usrah juga kita dapat menggandakan bilangan ahli jamaah dengan kita melatih setiap ahli usrah supaya menguasai methodology dan mahir pengurusan strategi dakwah. Sewajarnya ahli usrah wajib dilatih supaya mampu berdakwah sekurang-kurangnya secara fardi (dari individu ke individu) dan sebaik-baiknya mampu berdakwah kepada bilangan mad’u yang ramai, seperti memberi kuliyyah atau ceramah.

Usrah adalah medan yang bertanggungjawab untuk melahirkan para nuqaba’ berkualiti dan berwibawa guna memimpin jentera perjuangan ini , justeru itu usrah mesti mempunyai manhaj , modul dan silibus secara berperingkat (sistem marhalah) dan menepati keperluan jamaah serta tuntutan ummah .

Sistem perkaderan sebeginilah menjayakan hasrat kita untuk melahirkan amilin (petugas Islam) dalam jangka masa yang sesuai dan tepat. Demikianlah objektif dan aktiviti lain dalam skima pentarbiyyahan jamaah samada tamrin, kuliyyah, mukhayyam mahupun ijtimak hendaklah diprogramkan secara berkala, istiqamah dan bersistematik dipelbagai peringkat organ dewan pemuda.

UNIT KERJA JAMAAH (UKJ)

Persoalannya sekarang kenapakah sistem perkaderan seperti itu tidak dapat dilaksanakan dengan baik di dalam jamaah kita? Menyedari peri pentingnya sistem perkaderan , dari peringkat cawangan hingga ke peringkat tertinggi, maka Dewan Pemuda Pas Pusat sejak lama dulu telah melancarkan Unit Kerja Jamaah.

Unit Kerja Jamaah mensasarkan sekurang-sekurangnya 10 orang pemuda setiap cawangan dengan menjadikan sekurang-kurangnya 70000 - 100,000 ahli pemuda berdaftar di seluruh negara pada .

Ini adalah suatu tindakan yang amat tepat dengan realiti pergerakan pemuda kita. Suasana suram dan malap dalam perkaderan adalah disebabkan masih ada Jawatankuasa Pemuda Cawangan (JPC) yang gagal diwujudkan malah difungsikan.

Kegagalan ini memberi sumbangan kepada kegagalan wujudnya keseluruhan gerakerja di peringkat cawangan yang sepatutnya mengandungi gerakerja usrah, dakwah, kebajikan, sukan dan sebagainya.

Kegagalan tersebut kemudiannya menyumbang pula kepada lembabnya tahap pertambahan ahli dan seterusnya memberi kesan negatif kepada keperkasaan gerakerja dari peringkat cawangan hinggalah ke peringkat negeri.

KEPERKASAAN DAKWAH

Pertambahan Ahli Lanjutan daripada keperkasaan tarbiyyah , tercetus pula keperkasaan dalam dakwah , sebagai medium terbaik untuk menambah keahlian. Bertolak dari nokhtah ini , kita hendaklah menjadikan dakwah sebagai agenda, baik dalam gerakerja secara berorganisasi mahupun dalam gerakerja secara individu.

Sementara gerakerja berorganisasi dipelbagai peringkat , pusat , negeri, kawasan mahupun cawangan pula hendaklah berorientasikan pertambahan ahli dan membina kefahaman yang jelas dan jitu terhadap dasar perjuangan.

Sahabat – sahabat sekelian :

Dakwah tersebut hendaklah digerakkan secara positif dan dinamis . Kursus , bengkel, mahupun seminar pengurusan dakwah sewajibnya diperhebatkan terutamanya oleh Lajnah yang berkaitan.

Dewan Pemuda pula selayaknya tampil sebagai mesin penggerak yang agerasif dan efektif terhadap medium dakwah ini , untuk membimbing masyarakat dan anggota parti menuju tahap Khaira Ummah .

Dakwah Bil Hal - Akhlak Petugas Islam

Seperkara yang amat penting dalam konteks dakwah ialah akhlak pejuang Islam itu sendiri. Dakwah bil hal yang ditunjukkan oleh pejuang Islam melalui akhlaknya akan menjadi daya penarik yang kuat untuk menambat hati masyarakat bagi menyertai perjuangan ini.

Penjagaan akhlak para pejuang dan juga anak isterinya dari segi aurat ,gaya pergaulan serta budi bakti yang ditaburkan akan menjadikannya tempat rujukan bagi masyarakat. Lantaran itu , para pejuang juga mesti dibekalkan dengan ilmu dan akhlak yang tinggi dan berkualiti untuk terjun ke dalam masyarakat dan seterusnya menjadi orang penting dalam masyarakat.

Justeru itu ilmu kemasyarakatan ( seperti pengurusan jenazah, penyembelihan binatang, menguruskan kenduri-kendara, gotong royong, aktiviti di masjid dan sebagainya – sekadar menyebut beberapa contoh ) mesti dikuasai oleh pejuang Islam.

KEPERKASAAN ORGANISASI

Allah s.w.t sudah memberi syarat kepada kita dalam surah As-Shaff ayat 4 iaitu untuk membolehkan Allah menyintai kita dalam perjuangan ini hendaklah barisan perjuangan kita berada dalam keadaan teratur rapi sebagaimana bangunan yang tersusun kukuh.

Organisasi kita terdapat Ketua, Timbalan, Naib, Setiausaha, Bendahari , Penerangan dan juga lajnah-lajnah serta Jabatan - jabatan . Marilah kita muhasabah , malah muhasabah ini semestinya dilakukan dari masa ke semasa .

Adakah segalanya mampu berfungsi dengan sebaik mungkin ? Adakah ianya menepati satu gandingan sebagaimana bangunan yang kukuh dan mantap ? Adakah organisasi dengan segala gerakkerja yang kita rancang dan laksanakan mampu menyaingi organisasi yang dirancang oleh pihak musuh dengan bilangan ahli yang ramai, kelengkapan jentera kerajaan dan juga gerakerja mereka yang terancang dan bersungguh-sungguh ?

Sesungguhnya organisasi yang benar tetapi tidak tersusun dengan kemas akan dapat dikalahkan dengan organisasi yang batil tetapi tersusun dengan kemas.

Sahabat – sahabat sekelian :

Walaupun mereka mempunyai kelengkapan dari jentera kerajaan dengan dana yang berjuta-juta ringgit tetapi kita wajib yakin bahawa Allah membantu kita dalam pertembungan ini. Allah akan membantu kita dengan syarat kita berusaha memenuhi syarat yang ditetapkan olehNya untuk dianugerahkan pertolongan.

Justeru itu kita mesti berusaha memperkukuh dan memperkasa organisasi kita. Beberapa aspek perlu diperhatikan, antaranya adakah pembahagian tugas dilakukan secara optima dengan diletakkan setiap ahli bersesuaian dengan kemahiran yang dimiliki?

Adakah pula berlaku lambakan jawatan sementara di sudut yang lain pula terdapat ahli mampu yang tidak berperanan dan memegang apa-apa jawatan mahupun tugas dalam jamaah? Seterusnya adakah setiap lajnah yang dibina dalam jamaah dimaksimakan gerakerjanya?

Justeru itu setiap lajnah di dalam jamaah wajib diadakan perancangan jangka pendek dan perancangan jangka panjang (tahunan). Setiap lajnah perlu mempunyai aktiviti dalam setahun dan aktiviti tersebut menjadi asas perbincangan dan perlaksanaan dalam setiap kali mesyuarat samada di peringkat pusat , negeri , kawasan mahupun cawangan.

Sistem pemantauan hendaklah diaktifkan secara telus dan tegas oleh pihak sekteriat Dewan Pemuda dengan kerjasama yang baik dan telus pula oleh pihak ketua ketua lajnah terhadap semua aktiviti yang telah diputuskan .

Hubungan ataupun korelasi antara lajnah-lajnah di dalam jamaah juga hendaklah diwujudkan secara aktif dan mesra aktiviti. Ini adalah kerana kemungkinan ada terdapatnya program yang boleh digabungkan ataupun digandingkan bersama antara satu lajnah dengan lajnah yang lain.

Perkara ini adalah penting supaya pertindanan program yang membabitkan pertindanan masa dan penggandaan kos dapat dielakkan.

Hasil daripada keperkasaan organisasi akan terjanalah kualiti dalam jamaah yang bakal kita saksikan iaitu:

1. Seluruh ahli pemuda tidak sekali-kali berganjak dari landasan perjuangan memartabatkan Islam yang merupakan satu-satunya wadah yang mampu menjamin keadilan dan kesejahteraan sejagat.

2. Pemuda akan mengembelingkan seluruh kekuatan yang ada , menginfakkan setiap auns tenaga, setiap detik masa , setiap inci ruang dan setiap kesempatan yang ada untuk perjuangan Islam.

3. Kepimpinan dan ahli pemuda meletakkan kepentingan jamaah melebihi kepentingan peribadi

4. Pemuda akan mendepani massa ,menggarap ilmu dan kemahiran termasuk kemahiran dalam ilmu pengurusan sumber manusia , kemahiran ICT dan segala kemahiran ‘state of the art’ yang dapat menjurus kepada keperkasaan dan pemantapan jamaah.

5. Pemantapan agenda perkaderan dan dakwah pemuda bagi penambahan ahli tidak akan dapat dibendung lagi oleh musuh walaupun mereka menggunakan segala jentera kerajaan kerana kaedah pergerakan kita adalah melalui akar umbi iaitu sistem usrah dan dakwah yang dapat menyelinap ke setiap urat nadi masyarakat hatta ke dalam jabatan kerajaan itu sendiri.

6. Hasil daripada keilmuan dan pengalaman yang luas , pemuda akan menjadi lebih anjal. Keanjalan amat perlu supaya pemuda lebih relevan dan dapat mendepani semua situasi di era globalisasi ini.

AKHIRUL KALAM

Apabila kita menginsafi suatu tanggungjawab besar dan berat sedang menanti kita untuk menggerakkan bahtera perjuangan suci ini , sayugialah setiap individu anggota Dewan Pemuda melengkapkan setiap posisi yang diperlukan.

Di sinilah kita dapat melihat hubungkait dan koordinasi antara keperkasaan dalam pentarbiyyahan bagi mewujudkan petugas-petugas yang hebat. Petugas –petugas jamaah yang hebat pula akan melahirkan keperkasaan dalam aspek dakwah bagi melahirkan ahli-ahli jamaah yang ramai lagi berqualiti dan seterusnya menyumbang kepada keperkasaan dalam organisasi.

Seterusnya keperkasaan dalam organisasi akan membolehkan kita menepati misi Dewan Pemuda Pas Pusat iaitu melahirkan pemuda Hizbullah yang berjuang memenuhi cita-cita jamaah mencapai kemenangan Islam yang mutlak di Malaysia.

Manakala organisasi perkasa yang dirancang dengan tersusun akan menepati syarat untuk dianugerahkan pertolongan Allah bagi kemenangan Islam di bumi ini yang menepati visi Dewan Pemuda Pas Pusat iaitu menegakkan daulah Islamiah di Malaysia melalui penglibatan pemuda sebagai elemen terpenting.

Akhir sekali untuk kita tidak berganjak dari perjuangan ini marilah kita merenung firman Allah s.w.t dalam surah Al-Anfaal ayat 15 dan 16,

Wahai orang-orang yang beriman . Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir yang sedang mara menyerangmu maka janganlah kamu berpaling undur dari menentang mereka” “Dan barang siapa yang berpaling undur dari menentang mereka pada ketika itu kecuali ia bergerak ke arah lain (untuk menjalankan tipu muslihat) peperangan, atau hendak menyatukan diri dengan pasukan yang lain maka sesungguhnya ia tetaplah mendapat kemurkaan dari Allah, dan tempatnya adalah neraka jahanam, sedang neraka jahanam ialah seburuk-buruk tempat kembali.”

PENYERTAAN PAS
DALAM PILIHANRAYA
[ Tidak Beriman Kepada Demokrasi ]

Seminggu yang lalu saya menerima sms daripada seorang sahabat yang bertanyakan kenapa PAS menyertai pilihanraya ?

Sebagai penjelasan ringkas dari banyak kenyataan dan penjelasan para ulama' , saya kemukakan beberapa alasan kenapa PAS sebagai sebuah Gerakan Islam menyertai pilihanraya.
Ada pihak yang terlalu curiga terhadap PAS , apabila PAS menyertai plihanraya dengan alasan ianya tidak islamik dan tidak pernah berlaku dizaman Rasulullah saw mahupun sahabat baginda saw.

Sahabat yang dihormati sekelian :

Pada tanggal 27 june 1955 bermula penyertaan PAS dalam pilihanraya ( Pilihanraya Persekutuan Pertama ) untuk merebut 52 kerusi dan PAS telah menang satu kerusi di Kawasan Parlimen Krian melalui calonnya Tuan Guru Hj. Ahmad Hj. Husin hinggalah tahun 1959.

Penyertaan ini di atas hasrat untuk menegakkan Islam di Malaysia dan PAS telah memilih cara Muwajjahah Silmiyyah untuk menghadapi pihak yang tidak melaksanakan Islam ( Barisan Nasional ) di negara kita dengan menolak kaedah Revolusi dan perang.

Peringkat awal penyertaan PAS dalam pilihanraya tidak dipersoalkan hukum syarie atau tidak oleh mana mana badan atau pihak. Isu kesyariean kaedah pilihanraya ini hanya timbul setelah wujudnya jamaah - jamaah islam yang tidak puas hati terhadap PAS.

Pilihanraya adalah peluang terbuka dalam sistem Jahiliyyah untuk kita bermuwajjahah ( menentang ) pihak pemerintah yang enggan melaksanakan Syariah Allah swt. Melalui ruang ini juga , dilebarkan usaha dakwah dan gerakkerja mempertahan dan melindungi agama Allah swt.

Sebagaimana ruang dalam sistem jahiliyyah digunakan oleh Abu Talib untuk melindungi anak saudaranya Muhammad saw. Begitu juga dilakukan oleh Mata'am bin A'di untuk melindungi Rasulullah saw. ketika baginda pulang dari Taif. Ruang itu turut digunakan oleh Ibnu Ad Daghnah ketika memberi perlindungan kepada Syadina Abu bakar As-Sidiq rha. yang dihalau oleh kaumnya.

Namun pilihanraya sebagai satu ruang dalam sistem jahiliyyah ini tidaklah bererti satu -satunya kaedah dakwah dan perjuangan yang ada. Kita menerima pilihanraya selama mana ia selamat digunakan demi melebarkan dakwah dan menegakkan Islam , tetapi jika sekiranya ruang ini tidak lagi selamat digunakan , maka ruang - ruang atau kaedah - kaedah yang lain pula akan digunakan demi agama Allah swt.

Sebagaimana berlaku pada Ibnu Daghnah ketika mana ia tidak tahan dengan tekanan Musyrikin Quraisy yang meminta supaya Ad Daghnah menghentikan kerja dakwah Abu Bakar As - Siddiq yang berada di bawah lindungannya , lalu ibnu Ad Daghnah mengugut Abu Bakar rha. samaada menghentikan kerja - kerja dakwah untuk terus berada di bawah lindungannya atau dilucutkan perlindungan itu .

Syaidina Abu Bakar rha. menjawab : Aku pulangkan kembali kepada mu perlindungan yang diberikan kepada ku , Aku redho dengan perlindungan yang dikurnniakan oleh Allah swt. Demikianlah Abu Bakar rha. mengambil ruang yang ada dalam satu sistem Jahiliyyah ketika itu untuk bernaung dan melebarkan dakwah , namun ruang itu tidak bererti segala - galanya untuk dakwah malah apabila ia dirasakan tidak lagi selamat dan memberi pulangan sebaiknya kepada kerja - kerja dakwah , maka ruang ruang lain yang dibuka oleh Allah swt untuk menegakkan agamanya amatlah luas.

Melalui pilihanraya, PAS mampu menyuarakan Islam dan pandangan - pandangannya di Parlimen dan juga DUN yang perlu difahami bahawa disitulah undang - undang negara kita digubal.

PAS juga mampu menggubal undang - undang Negara ini untuk dilaksanakan Islam jika dua pertiga ahli parlimen menyokong PAS.

Berasaskan kenyataan ini , PAS berjuang dan bertanding dalam pilihanraya di peringkat Parlimen dan DUN sebagai usaha untuk menggubal undang - undang negara ini dari Jahiliyyah kepada Islam .

Dalam ertikata lain , meneruskan usaha Rubaei bin Amir rha. : Mengeluarkan sesiapa jua yang mahu dari perhambaan sesama hamba kepada perhambaan kepada Allah tuhan yang mencipta hamba . Dari kedhaliman agama ciptaan manusia kepada keadilan Islam wahyu yang diturunkan oleh Allah swt. dan dari kesempitan duni kepada keluasan dunia dan akhirat yang dijanjikan oleh Allah swt.