Thursday, February 26, 2009

Bahaya Aids Al Haraki Dalam Gerakan Islam


SUATU PERINGATAN DARI USTAZ FATHI YAKAN
( Virus Merbahaya Yang Menyerang Harakah Dakwah Masa Kini )


Disediakan oleh :
Akhukum fiLlah, Ahmad Akhyari bin Ismail Az-Zahawiee UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta.


Muqaddimah


Seorang Mujahid Dakwah, Ustaz Fathi Yakan, yang pernah berkunjung ke Negara kita, dalam rangka menghadiri Muktamar Agung PAS tahun 1997, telah memperingatkan kita semua tentang bahaya AIDS Haraki, iaitu istilah yang menggambarkan fenomena yang telah dan sedang terjadi di sebahagian harakah Islamiah di seluruh dunia.


Ini adalah peringatan penting beliau kepada para aktivis dakwah, sejak enam belas tahun yang lalu di dalam buku beliau : Ihzaruu AIDS Al-Haraki (Berjaga-jagalah, AIDS Haraki). Wa Zakkir !! Fa inna az-Zikra tanfa`ul mu’minin.

Penyakit AIDS adalah merujuk keadaan seseorang yang mengalami kehilangan daya tahan penyakit di dalam tubuh, sehingga menjadi mudah dijangkiti penyakit dengan keadaan yang parah. Sehingga kini, penyakit yang disebabkan oleh virus HIV ini, masih belum ditemui ubat yang dapat menyembuhkan penyakit merbahaya ini. Para penghidap HIV/AIDS ini akan berhadapan dengan risiko kematian.

Dalam buku “Ihdzaruu Al-Aids Al-Harakiy (1989)”, Al-Ustaz Fathi Yakan secara khusus mengingatkan kes kehancuran harakah dan tanzim dakwah di Lubnan. Hal yang sama juga berlaku di beberapa Negara Muslim yang terdapat harakah Islamiah di situ. Beliau berpendapat, kes-kes kehancuran tanzim dakwah bermula dari kelemahan daya tahan dalaman jama`ah, yang seringkali terjadi di saat mereka berada di atas paksi Mihwar Siyasi (Orbit Politik).

Hal ini sering terjadi ketika harakah Islamiah memasuki wilayah amal siyasi (kerja politik) untuk menyempurnakan wilayah `amal dakwah dan meningkatkan sasaran dakwah yang lainnya.


Mengapa terjadi seperti ini? Apakah penglibatan harakah Islamiah dalam wilayah politik adalah suatu kekeliruan dan kesilapan? Tentu saja tidak !! Bahkan ini adalah suatu kewajipan kita semua.

Konsep Syumuliatul Islam yang diperkenalkan Imam As-Syahid Hasan al-Banna di dalam usul pertama dari Usul `Isyrin, telah memberikan gambaran pentingnya kita bergerak di paksi politik demi tertegaknya Ad-Din wa Ad-Daulah. Sesungguhnya saat ini, Syumuliayatud Dakwah menuntut kita memasuki dan menguasai wilayah politik.

Mengenal Virus Merbahaya

Persoalan yang timbul ialah bagaimana virus ini boleh berjangkit dan menjadi penyebab kehancuran kepada harakah? Dalam analisa dan tajribah Ustaz Fathi Yakan, terdapat 7 faktor utama yang menyebabkan hal ini terjadi :

1. Hilangnya Manna`ah I`tiqodiyah (imuniti keyakinan) dan tidak terbinanya bangunan dakwah di atas dasar fikrah dan mabda’ yang benar dan jitu. Akibat yang timbul dari faktor ini, tanzim dakwah tidak tertegak di atas fikrah yang benar dan utuh.

Adakalanya sebuah tanzim hanya wujud sebagai Tanzim Ziyami, iaitu tanzim yang berdiri atas landasan wala’ kepada seorang pemimpin yang diagungkan. Ada juga yang bergerak sebagai Tanzim Syakhshi, iaitu tanzim yang tertegak atas bayangan keperibadian (figure) seorang pemimpin. Terdapat juga yang berbentuk Tanzim Mashlahi Naf`i yang berorientasi mewujudkan tujuan perlaksanaan pengisian semata-mata.

Kerana itu, binaan tanzim menjadi begitu rapuh, tidak mampu menghadapi kesulitan dan cabaran. Akhirnya bergoncanglah binaan dan bercerai-berai shofnya sehingga terjadilah berbagai peristiwa dan tragedi.

2. Perkaderan dan pembinaan anggota berdasarkan kuantiti, dengan mengutamakan bilangan dan jumlah keahlian menjadi keutamaan qiyadah. Seringkali dianggap, bahawa jumlah yang banyak itu akan menjadi penentu kemenangan dan kejayaan. Kondisi ini mungkin ada kebenarannya ketika sebuah harakah dakwah tampil secara rasmi sebagai parti politik dan terlibat dalam pilihanraya.

Akan tetapi hal ini perlu diawasi kerana, orientasi ini akan memudahkan pihak-pihak tertentu cuba mewujudkan qaidah sya’biyah atau dasar dokongan sosial untuk kepentingan mealisasikan tujuan-tujuannya.

Dalam situasi tertentu akan muncul keperibadian atau tokoh-tokoh tertentu dalam harakah yang memperjuangkan kepentingan peribadi dengan memanfaatkan qaidah sya’biyah yang dibinanya. Pada saat ini, qa`idah sya’biyah ini akan bertindak sebagai musuh dalaman kepada harakah Islamiah.

3. Isti’jal (tergesa-gesa) untuk meraih kemengan, meskipun tidak seimbang dengan persediaan yang mencukupi, walaupun ditahap minimum. Kemenangan politik bererti memperolehi kekuasaan. Setiap aktivis politik akan dikuasai semangat mencari dan mengejar kekuasaan sehingga tidak ada penghujungnya.

Menurut Ustaz Fathi Yakan, kekuasaan yang diperolehi di manapun akan menuntut pembahagian ghanimah (harta rampasan perang) kepada penjaga sesuai dengan perbandingan tugasan yang ditanggung seseorang. Ghanimah yang telah diperoleh itu kadangkala melahirkan cubaan, fitnah dan bencana kerosakan dalam harakah.

Permasalahan dasarnya adalah penipuan dalam pembahagian, antara perseorangan, pemimpin serta penguasa yang bercita-cita mendapatkan bahagian kekuasaan yang banyak. Akhirnya prinsip perjuangan tergadai dan agenda maddiyah dengan mengejar kepentingan hawa nafsu akan menjadi tuntutan perjuangan mereka.

Ketika ini hilanglah roh aqidah dalam perjuangan, tumpuan hanya diberikan kepada percaturan strategi menghadapi musuh dalam pilihanraya dengan meninggalkan agenda pembinaan ruhiyah di kalangan jundiyah dan qiyadah. Akhirnya “yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran ”.

4. Binaan tanzim dipengaruhi unsur luaran. Samada dipengaruhi oleh latarbelakang kekuatan yang berada di sekelilingnya dari aspek politik, ekonomi dan lain-lain aspek. Akibatnya, tanzim akan kehilangan potensi keaslian perjuangan, kehilangan orientasi dan arah tujuan politik. Kerana hilangnya asholah dakwah (keaslian), tanzim menjadi alat kepentingan pihak lain, dan segala keputusan dan tindakan dipengaruhi kelompok tertentu.

5. Munculnya berbagai aliran dan kelompok dalam harakah. Hal ini sering terjadi kepada harakah yang telah mengalami perpecahan lantaran hilangnya wahdatul fikr dan wahdatul `amal. Kesan dari permasalahan ini akan timbulnya ta`addudul wala’, justeru akan timbul pertikaian, perebutan pengaruh dan kekuasaan untuk meraih hasrat dan cita-cita peribadi atau kelompok tertentu.

6. Campur tangan pihak luar dengan pengaruh dominan politik, ideologi, perisikan, inteligent dengan berbagai cara penyamaran untuk menyerang musuh dalam harakah dengan tujuan menghancurkan kekuatan dan kesatuan di dalam tanzim. Ruang yang terbuka untuk campur tangan atau penyusupan amat luas, terutama melalui ruang politik, iaitu dengan menawarkan pelbagai maslahah siasah.

Kekuatan luaran dan campur tangan ke dalam tanzim harakah berlaku ketika jamaah mengalami kelemahan, miskinnya roh `aqidah di kalangan jundiyah dan qiyadah, kuatnya kecenderungan mengejar maddiyyah dan jawatan.

7. Lemah atau hilangnya kesedaran politik (wa’yu siyasi) dalam harakah. Sesebuah harakah yang tidak memiliki wa’yu siyasi yang tinggi dan baik, tidak akan dapat mengimbangai peredaran zaman, gagal mengambil istifadah dan pengajaran dari pengalaman lepas, tidak mengkaji peranan harakah di masa depan dan tidak mampu membuat suatu keputusan politik setempat berdasarkan situasi dan kondisi politik internasional.

Apabila harakah mengalami kelemahan seperti ini, akan berlaku sikap yang kontradiktif dan mudah terbawa arus. Keadaan ini memudah unsur-unsur negatif dari luar mengawal keputusan politik dalam harakah dan mengenepikan peranan majlis syura dalam jamaah.

Semua faktor kondisi yang dinyatakan oleh Ustaz Fathi Yakan adalah berkesimpulan dari masalah mendasar harakah Islamiah masa kini, iaitu “politik mendominasi tarbiah”. Keadaan ini menyebabkan suasana atau munakh harakah dikuasai oleh politik, bahkan sangat mempengaruhi pendirian dan sikap para anggota dan pimpinan harakah.

Kewajipan Memelihara Asholatud Dakwah (Keaslian Dakwah).

Permasalahan dan penyakit yang berlaku di dalam harakah dakwah, hanya dapat dikawal dan diubati dengan memelihara keaslian dakwah yang kita warisi dari Baginda Rasulullah SAW.

Syeikh Mustafa Masyhur Rahimahullah, dalam sebuah tulisannya, Qadhaya Asasiyyah `Ala Thoriqud Dakwah, menekankan betapa pentingnya Muhafazhah `Ala al-Asholah (memelihara keaslian dakwah), agar harakah terjamin berada di jalan yang benar menuju sasaran.

Sekecil-kecil penyelewengan dari asholah dakwah, pasti akan melahirkan kegelinciran yang semakin hari semakin besar, serta menyeret harakah jauh dari jalan yang benar dan gagal mencapai sasaran harakah. Imam Asy-Syahid Hasan al-Banna selalu menekankan agar jamaah beriltizam dengan Islam, Al-Quran dan As-Sunnah serta melangkah ke medan dakwah berpandukan Sirah Rasulullah SAW ketika beliau menegakkan Daulah Islamiah pertama. (Mustafa Masyhur, Qadhaya Asasiyyah `Ala Thoriqud Dakwah).

Memelihara Asholah Dakwah bererti meletakkan kepentingan kepada tarbiyah. Kerana itu, tarbiyah dalam jemaah tidak boleh dikesampingkan atau diabaikan demi memenuhi tuntutan kegiatan politik, publisiti bahkan jihad sekalipun. Perencanaan takhtit dan tanzim semata-mata tidak mencukupi tanpa tarbiyah untuk membina izzah harakah di mata musuh Islam.

Usrah merupakan tulang belakang tarbiyah dalam jamaah, yang berperanan sebagai wasilah yang mendidik ahli dan membentuk rijal. Semua anggota di manapun peringkat jamaah, samada ahli hinggalah pimpinan tertinggi wajib mengikuti peringkat-peringkat tarbiyah sehingga sampai ajalnya.

Kesimpulan

Ternyata, kewajipan itu lebih banyak dari batas waktu yang kita miliki. Kerana itu, dakwah kita tidak dibina atas dasar rukhshah (keringanan), tetapi dibangun atas dasar `azhimah dan tekad yang teguh. Jika hal ini diperhatikan dengan sewajarnya, dari peringkat ahli sehinggalah pimpinan jamaah, segala permasalahan yang sering melanda harakah dan dakwah, nescaya virus bahaya yang menular dalam tanzim binaan jamaah dapat diatasi.

Semoga kita mengambil pelajaran dan manfaat dari taushiyah yang disampaikan sejak enam belas tahun silam oleh seorang da`ie yang menjadi qudwah kepada kita, demi kebaikan dan kejayaan harakah dakwah di Negara kita.

Kepada para Pejuang yang merindukan kejayaan.....

Kepada Rakyat yang kebingungan di persimpangan jalan Kepada Pewaris peradaban yang telah menggoreskan

Sebuah catatan membanggakan di lembar sejarah manusia Wahai kalian yang rindu kemenangan…..

Wahai kalian yang turun ke medan Demi mempersembahkan jiwa dan raga Untuk Islam tercinta…..

Kepentingan Perjuangan Menegakkan Politik dan Negara Islam


بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله قائد الدعاة والمجاهدين وعلى آله وصحبه أجمعين

Tabiat aqidah ianya menjurus ke arah menjelmakan amal, jihad dan haraki. Aqidah bukannya suatu doktrin kaku yang tidak menghasilkan apa-apa tindakan atau amal. Jelmaan aqidah yang hakiki dapat dilihat pada sirah perjuangan Rasul saw dan partisipasi para sahabat dalam jihad dan haraki.

Manifestasi aqidah mereka adalah cetusan dari tuntutan firman Allah,


إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أُوْلَئِكَ هُمْ الصَّادِقُونَ

{Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya dan mereka tidak ragu (dalam keimanan itu) dan mereka berjihad dengan harta benda mereka serta diri mereka pada jalan Allah. Merekalah orang-orang yang benar (dalam menghayati keimanan/aqidah)}

(al-Hujurat : 15)

Ayat di atas memperlihatkan kepada kita bahawa keimanan menghasilkan keyakinan kepada Allah dan Rasul serta mencetuskan jihad dan perjuangan dalam kehidupan seseorang yang beriman itu.

Ini dapat dilihat melalui penegasan asSyahid Sayyid Qutub yang mengambarkan konsep aqidah yang hidup dan haraki di mana ia mengatakan :

“ Ketika al-Quran itu membina aqidah dalam hati nurani ummah pada waktu yang sama pula ia sama-sama mengharungi perjuangan menentang masyarakat jahiliyyah, berbimbingan tangan dengan ummah Islam; sepertimana ia berbimbingan tangan mengharungi perjuangan hebat mengikis sisa-sisa jahiliyyah dari hati nurani manusia, dari moral dan realiti hidup mereka dan dari percaturan inilah lahirnya pembinaan aqidah itu, bukan dalam bentuk teori dan tidak pula dalam bentuk teologi serta bukan dalam bentuk perdebatan, tetapi dalam bentuk jamaah yang hidup dan penyusunan haraki yang langsung mengenai kehidupan yang terjelma dalam jamaah muslimin itu sendiri …" (1)

Tabiat Perjuangan Islam

Aqidah yang hakiki akan menjelmakan amal dan perjuangan. Rasulullah saw dan para sahabat telah mengariskan manhaj dalam menampilkan amal dan perjuangan dalam Islam sepertimana yang di kehendaki oleh Allah.

Dan satu tabiat serta sunnah Rasul saw dan para sahabah bahawa jelmaan amal dan perjuangan itu haruslah direalisasikan melalui amal jamaiy dan haraki (berjamaah/berparti dan berorganisasi). Perjuangan secara berjamaah atau berparti ini adalah sunnah rasul dan sunnah para rasul-rasul yang terdahulu yang tercatat dalam al-Quran.


وَكَأَيِّنْ مِنْ نَبِيٍّ قَاتَلَ مَعَهُ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ فَمَا وَهَنُوا لِمَا أَصَابَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَمَا ضَعُفُوا وَمَا اسْتَكَانُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الصَّابِرِينَ

{Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (ugama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.}

(Aali - Imran : 146 )


يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُونوا أَنصَارَ اللَّهِ كَمَا قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ لِلْحَوَارِيِّينَ مَنْ أَنصَارِي إِلَى اللَّهِ قَالَ الْحَوَارِيُّونَ نَحْنُ أَنصَارُ اللَّهِ

{ Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu pembantu-pembantu agama Allah, sepertimana yang diucapkan oleh Isa putera Maryam kepad pengikut-pengikutnya yang setia, siapakah pembantu-pembantu ku pada jalan Allah ?. Lalu berkatalah pengikut-pengikutnya yang setia : Kamilah pembantu agama Allah.. }

(as-Saff 14)


قُلْ هَذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنْ اتَّبَعَنِي

{ Katakanlah : inilah jalanku yang lurus, aku bersama pengikut ku menyeru ke jalan Allah dengan keterangan yang nyata…}

(Yusuf 108)


وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنْكَرِ وَأُوْلَئِكَ هُمْ الْمُفْلِحُون َ

{ Dan hendaklah ada di kalangan kamu suatu ummah (kumpulan) yang menyeru kepada kebaikan. Dan memerintahkan kepada ma’aruf serta mencegah dari kemungkaran. Dan merka itulah orang-orang yang beruntung}

(ali Imran 104)


Kepentingan Berpolitik Untuk Menegakkan Daulah Islam


إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا (58) يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُوْلِي الأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلا

{Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.}

( anNisa’ : 58)

Ayat di atas menunjukkan Allah memerintahkan umat Islam agar menyerahkan amanah mereka kepada orang yang layak. Dan di antara amanah yang paling besar ialah amanah untuk ‘menegakkan agama dan memerintah dunia ini dengan agama itu- إقَامَةُ الدِّينِ وَسِيَاسَةُ الدُّنيَا بِه ’.


Ini adalah amanah kepimpinan ummah dan negara. Kerana kewujudan kepimpinan ummah dan negara (politik) ialah untuk menegakkan agama dan memerintah dunia (politik) dengan agama itu. Oleh itu menjadi kewajiban apabila memilih pemimpin negara dan politik hendaklah memilih yang layak memikul amanah itu.

Allah telah perjelaskan kepada kita ciri-ciri kepimpinan yang layak. Antaranya ialah :


إِنَّمَا وَلِيُّكُمْ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ (55) وَمَنْ يَتَوَلَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا فَإِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمْ الْغَالِبُونَ

{ Sesungguhnya pemimpin kamu adalah Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan mereka tunduk (kepada Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada ugama) Allah, itulah yang tetap menang} .

(al-Maidah 55-56)

Kita tidak dapat melantik kepimpinan politik negara setakat ini melainkan melalui proses politik yang ada sekarang ini. Oleh itu menjadi tanggung jawab kita untuk melibatkan diri dengan perjuangan politik untuk menggangkat pemimpin politik dan negara yang layak. Melantik orang yang tidak layak untuk memikul amanah yang besar itu akan membahayakan ummah dan negara.


Sabda Rasulullah saw : Jika amanah disia-siakan, tunggulah saat kehancuran. Ada sahabat bertanya : bagaimana menyia-yiakannya ? Baginda saw menjawab : jika urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancurannya

(al-Bukhari)

Begitu juga Allah memerintahkan kita melaksanakan dan menghukum manusia dengan adil. Bagaimana kita hendak menghukum manusia dengan adil kalau kita tidak menguasai pemerintahan negara. Kita perlu kepada pemerintahan untuk mengubah dasar perundangan negara agar dasar itu berada dalam acuan Islam.


Bila dasar perundangan telah Islam, barulah mahkamah dapat memutuskan hukum berdasarkan hukum Islam yang adil. Ini juga memperlihatkan kepada kita betapa perlunya kita menegakkan pemerintahan Islam yang mana cara untuk menegakkannya adalah kembali kepada penglibatan dengan kerja-kerja politik.

Berkata Imam al-Mawardi : Tidak ada perbedaan pendapat di kalangan para ulama’ bahawa hukum menegakkan khilafah (daulah) adalah fardhu kifayah, seperti jihad dan sebagainya…(2)
Berkata Sheikh Taqiyuddin an Nabhani : Tanpa adanya daulah, kewujudan Islam sebagai aqidah dan sistem kehidupan akan menjadi pudar, yang ada hanya Islam sebagai upacara peribadatan serta sifat akhlakiyyah semata-mata. Kerana itu daulah Islam harus tetap ada dan keberadaannya bukan untuk sementara. (3)

Berkata asSyahid Abdul Qadir Audah : Sesungguhnya Islam mewajibkan seluruh manusia mematuhi seluruh hukum yang diturunkan Allah danmewajibkan mereka supaya berhakimkan kepada hukum itu dan menjalankan hukuman dan pemerintahan dengan hukum yang diturunkan Allah sahaja, bukan dengan hukum lain. Pengertian dan kesimpulan dari semuanya ialah bahawa hukum dan pemerintahan itu adalah salah satu dasar dan sumber asli Islam, yang merupakan tiang tempat tegaknya dan doktrin Islam (4)

Berkata Dr Yusuf al-Qardhawi : …ijma’ umat yang kukuh, yang diyakini sepanjang sejarah, bahawa Islam adalah aqidah dan syariah, agama dan daulah, ibadah dan qiyyadah, salat dan jihad, bahawa Rasullullah saw adalah pemimpin pertama bagi daulah Islam, dan para penganti baginda selepas itu juga mengikuti jalannya yang telah diterokai…(5)

Berkata Dr al-Qardhawi lagi : Sejarah Islam telah mengungkapkan kepada kita bahawa Rasullullah saw telah berusaha sedaya mungkin dengan mengerahkan kekuatan dan pemikiran dengan dukungan wahyu untuk mendirikan daulah Islam bagi dakwah dan penyelamat ummah (6)

Kepentingan Mendukung Perjuangan Islam Melalui PAS

1. Dasar dan Matlamat PAS

Dasar dan matlamat perjuangan PAS adalah untuk mendaulatkan Islam dalam bentuknya yang menyeluruh dan lengkap melengkapi. Ianya meliputi aqidah dan syariah, ad-din dan daulah, ibadah dan qiyyadah, akhlak dan jihad dalam usaha untuk menjelmakan individu, keluarga dan ummah muslim yang menepati piawaian Allah.

Apa yang hendak diperjuangkan Parti Islam ialah agar seluruh aspek kehidupan manusia seperti politik, ekonomi, pendidikan, undang-undang, kekeluargaan, budaya, ketenteraan, hubungan antarabangsa dan sebagainya lagi diletakkan di dalam acuan Islam yang meliputi dasar-dasar aqidah, akhlak dan syariah yang diredhai Allah (7)

2. PAS Sebagai HizbulLah


وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنْكَرِ وَأُوْلَئِكَ هُمْ الْمُفْلِحُون َ

{Hendaklah ada di kalangan kamu segolongan ummat yang mengajak kepada kebaikan, menyuruh yang ma’aruf dan mencegah yang mungkar. Merekalah orang-orang yang beruntung

(ali-Imran 104)


يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَنْ يَرْتَدَّ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلا يَخَافُونَ لَوْمَة َ لائِمٍ ذَلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ (54) إِنَّمَا وَلِيُّكُمْ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُون َ(55) وَمَنْ يَتَوَلَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا فَإِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمْ الْغَالِبُونَ

{ Wahai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka menyintai Allah, yang bersikap lemah lembut terhadap orang-orang mukmin dan bersikap keras terhadap orang kafir, yang berjihad di jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang-orang yang mencela. Itulah karunia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang Ia kehendaki dan Allah Maha Luas lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya penolong (pemimpin) kamu ialah Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah). Dan barangsiapa yang berwalikan Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman, maka sesungguhnya hizbulLah (golongan Allah) itu lah yang pasti menang}.

(al-Maidah 54-56)

Ciri-ciri hizbulLah atau partai Allah yang tersebut dalam ayat di atas itu ialah :

i. Mencintai Allah dan dicintai oleh Allah
ii. Berlemah lembut sesama mukmin
iii. Bersikap tegas terhadap kuffar
iv. Berjihad pada jalan Allah
v. Tidak gentar kepada celaan dan gangguan manusia
vi. Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman dijadikan pemimpin

PAS wujud sebagai menyahut tuntutan Allah agar ada sebuah jamaah yang melakukan kerja-kerja al-khair dan menyediakan wasilah untuk menjelmakan ciri-ciri hizbullah di dalamnya serta melakukan jihad yang berterusan melalui penyusunan kerja yang tersusun.


إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُمْ بُنيَانٌ مَرْصُوص ٌ

{ Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berjuang pada jalanNya dalam barisan yang tersusun seakan-akan mereka seperti bangunan yang tersusun kukuh }

(as Saff : 4)

3. PAS berjuang menegakkan negara Islam

Tentang wajibnya umat menegakkan negara yang dengannya tertegaknya sistem Islam yang menyeluruh dan lengkap telah dijelaskan melalui ayat-ayat dan pandangan-pandangan ulama’ di atas. Perjuangan untuk menegakkan negara Islam bukanlah kerja kecil yang boleh diselesaikan secara individu, malah ianya harus digerakkan secara berjamaah sepertimana yang telah ditunjukkan oleh Rasullullah saw bersama generasi sahabah dahulu.


Dunia Islam hari ini secara realitinya adalah kosong dari daulah dan khilafah Islamiyyah. Dr Shalah as Showi menyebutkan : Yang dimaksudkan dengan kekosongan dari imam atau khilafah adalah ketiadaan pemerintahan syari’yyah yang melaksanakan seluruh aturan syari’yyah pada sesuatu zaman atau tempat. Begitu juga dengan ketiadaan imam kalau imam itu murtad atau menganti beberapa hukum dan merubah hukum-hukum Islam, maka dengan itu gugurlah baia’h terhadap imam atau khalifah itu. (8)

Berkata Dr Muhammad Naeem Yassin : Tetapi sekiranya seorang hakim atau pemerintah itu mentadbir hal ehwal rakyatnya tanpa berpandukan kitab Allah maka tidak wajib ditaati dan berdosa pula orang yang melihatnya tetapi mendiamkan diri (tidak berjuang merubah keadaan). (9)

Berkata al-Ustaz Abdul Rahman Muhammad Khalid : Termasuk dalam konteks maaruf yang paling agung ialah mendirikan khilafah dan tegaknya hukum Allah, juga mengoreksi para penguasa pengkhianat dan zalim. Jadi ini merupakan amal jamaiy yang sama sekali tidak dapat dilakukan secara individu. Maka menjadi kewajiban kaum muslimin untuk mendirikan jamaah yang mampu menegakkan khilafah dan mampu mengoreksi pemerintah.

Begitu juga halnya jika jamaah yang mereka bentuk itu tidak mampu melaksanakan tujuan untuk menjadi khilafah atau mengoreksi pemerintah maka mereka tetap berdosa. Sebab yang diwajibkan itu bukan sekadar membentuk jamaah sahaja, tetapi membentuk gerakan dakwah yang mampu melaksanakan gerakan tadi dan bukannya semata-mata jamaah sosial kemasyarakatan atau ikatan cendekiawan atau kelompok-kelompok thoriqah atau sebagainya yang tidak mampu untuk melaksanakan kewajiban syara’ bagi menegakkan khilafah atau mengoreksi pemerintah. (10)

Berkata Dr Yusuf al-Qardhawi : Beralih kepada sunnah, Rasulullah saw bersabda : Barangsiapa yang mati dan di lehernya tidak ada baiah (kepada khalifah Islam) maka dia mati dengan kematian jahiliyyah (Muslim).

Tidak diragukan setiap muslim haram berbaiah (ikrar taat setia) kepada pemerintah manapun yang tidak taat kepada Islam. Baiah yang boleh membebaskan seseorang dari dosa (mati jahiliyyah) ialah baiah terhadap pemerintah yang melaksanakan Islam. Jika pemerintah seperti itu tidak ada, maka setiap umat Islam adalah berdosa sehingga adanya khalifah yang menegakkan hukum Islam dan ianya boleh diberi baiah. Setiap muslim tidak terlepas dari dosa melainkan dua jalan yang selamat :

a. Ingkar kepada pemerintah yang zalim itu jika ia tidak berkuasa untuk membaikinya.
b. Berusaha secara berterusan dan berjamaah untuk mewujudkan khilafah Islam sehingga tertegaknya kehidupan yang menepati kehendak Islam yang sebenar. (11)

Berdasarkan huraian di atas jelas kepada kita bahawa kewajiban umat Islam di Malaysia ialah berjuang secara berterusan dalam Jamaah Islam untuk mewujudkan pemerintahan Islam yang melaksanakan dasar-dasar Islam dalam negara, kerana setakat hari ini umat Islam masih bebas untuk menyertai perjuangan Islam itu.

Tidak memadai setakat engkar sahaja dalam hati, kerana ruang untuk berjuang itu masih terbuka kepada ummah ini. PAS sebenarnya wujud sebagai wadah amal jamaiy untuk menampung perjuangan ini.

Penutup


قَدْ كَانَ لَكُمْ آيَةٌ فِي فِئَتَيْنِ الْتَقَتَا فِئَةٌ تُقَاتِلُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَأُخْرَى كَافِرَةٌ

Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu (di medan perang); satu pasukan (orang-orang Islam) berperang pada jalan Allah (kerana mempertahankan ugama Allah), dan yang satu lagi dari golongan kafir musyrik.

(Aali - Imran : 13 )

Kewujudan PAS dan manhaj perjuangannya adalah berdasarkan kepentingan Islam yang sebenarnya adalah dituntut oleh Allah kepada setiap individu muslim sepertimana yang tertera melalui nash-nash al-Quran dan hadis serta pandangan dan ijma’ ulama’ yang telah dikemukakan di atas.

Umat Islam sebenarnya tidak perlu ragu untuk bersama dengan perjuangan PAS kerana perjuangan Islam oleh PAS ini secara jelas menepati kehendak Islam itu sendiri. Dalam erti kata lain melibatkan diri dengan perjuangan Islam melalui PAS ini adalah merupakan ibadah kepada Allah kerana penglibatan diri dengan perjuangan Islam adalah perkara yang telah diwajibkan oleh Allah kepada kita semua.


والله أعلم

(1) Sayyid Qutub. Petunjuk sepanjang jalan
(2) Imam al-Mawardi . al-Ahkam as-Sulthoniyyah
(3) Sheikh Taqiyuddin an-Nabhani . Nazhomul hukmi fil Islam
(4) as-Syahid Dr Abdul Qadir Audah . Harta dan pemerintahan dalam Islam
(5) Dr Yusuf al-Qardhawy. Nahwa wahdah fiqriyyah lil ‘amilin lil Islam
(6) Dr Yusuf al-Qardhawy. Fiqh ad-Daulah fil Islam
(7) rujuk Perlembagaan PAS dan tulisan/ucapan pimpinan PI
(8) Dr Solah as-Showy. Mafhumuha wa kaifiyatu luzumiha fi waqi’ inalmu’ashir
(9) Dr Muhammad Naem Yasin. Al-Jihad
(10) Sheikh Abd Rahman Khalid. Seputar soal jawab gerakan Islam
(11) Dr Yusuf al-Qardhawy. Fiqh ad-Daulah fil Islam

Wednesday, February 25, 2009

Usrah Muslimah Nadi Ummah


Muqaddimah .

Ummah kini dinodai tanpa belas simpati . Setiap sendinya dilumpuhkan dengan kekejaman yang tidak terperi , sedang ummah ini merupakan ummah terbaik yang dirancang oleh Allah swt. untuk membina ketuanan Al Ma’ruf dan memusnah kemaharajalelaan Al Mungkar .


كنتم خير أمة أخرجت للناس تأمرون بالمعروف و تنهون عن المنكر و تؤمنون بالله ./ ال عمران 110


Maksudnya : “ Kamu adalah sebaik - baik ummah yang dilahirkan untuk manusia agar kamu menegakkan yang Ma’ruf dan mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah swt .”

Barat dan orientasi Zionisme melalui protokol jahat mereka menjadikan sistem keluarga (Usrah) Ummat Islam sebagai tujusasar mereka untuk menghancurkan Islam dan gerakannya.

Proses Pelupusan Usrah Muslimah .

1. Menganjurkan pergaulan bebas dan merangsang nafsu ke arah Free Sex . Sementara api hedonisme terus menerus disirami minyak agar Ummat Islam alpa selanjutnya meninggalkan prinsip - prinsip Islami . Kesan sampingan yang paling minima, bakal diterima oleh Ummat Islam ialah mengenepikan aspek ugama dalam memilih pasangan hidup mereka, sedang ini adalah suatu bahaya besar yang akan menghancurkan institusi rumahtangga muslim ( Usrah Muslimah ).

2. Konsep rumahtangga barat yang berorientasi maddiyah kononnya sebagai asas kebahagiaan diberi publisiti yang luas . Harta dan kemewahan menjadi target perlumbaan hidup mereka sehingga ianya memberi persaingan hebat kepada kasih sayang dan keharmonian rumahtangga.

3. Pendidikan sekular ( penjarakkan ugama dari kehidupan ) di ‘ higt light ’ kepada masyarakat Ummat Islam bermula dari peringkat Tadika ( Hadhanah ) hinggalah ke tangga Universiti . Fenomena ini mencambahkan benih Jahiliyyah Sekular dari dalam rumahtangga Ummat Islam itu sendiri .

4. Kebebasan bersuara tanpa batas dan kawalan sistem dosa dan pahala anjuran barat ditiup kepada masyarakat Ummat Islam yang akhirnya di atas nama tamadun dan hak asasi manusia , seorang isteri boleh menuntut hak sekalipun di luar kemampuan suami dan suami boleh didakwa kiranya menyetubuhi isteri tanpa kerelaan . Begitu jua seorang anak , bebas bertindak tanpa perlu kepada kawalan ibu bapa .

5. Pembinaan Syakhsiyyah dan Ummah Islamiyyah dianggap hak peribadi dan di luar tanggungjawab Usrah Muslimah , sehingga amal Islami menjadi satu ruang yang sempit setelah mereka mendirikan rumahtangga . Demikian antara kerja jahat musuh yang tidak berhati perut untuk melumpuhkan ummat Islam .

Persoalannya sekarang , apakah kita hanya berpeluk tubuh dan menyepi diri menyaksi segala aksi mereka di hadapan mata kepala kita ?! Hanya mereka yang tidak memiliki sensitiviti dan basirah sanggup membisu dan menggulung lidah menyaksi segalanya .

Struktur Pembinaan Usrah Muslimah .

Pembinaan Usrah Muslimah bermula dari penyediaan konkrit dan tapak yang kukuh . Percubaan membina Usrah Muslimah di Tanah Lumpur atau di Tebing Runtuh hanya satu percubaan yang sia - sia malah membahayakan diri . Islam telah melakarkan “ Pelan Tapak Kukuh ” untuk tujuan pembinaan tersebut .

Tapak Usrah Muslimah .


عن جابر أن النبي صلى الله عليه و سلم قال : إن المرأة تنكح على دينها و مالها و جمالها
فعليك بذات الدين تربت يداك / رواه الترمذي و قال حسن صحيح

Maksudnya : “ Dari Jabir bahwa Nabi saw. Telah bersabda : Sesungguhnya perempuan itu dikahwini berdasarkan ugamanya , hartanya dan kecantikkannya , maka selayaknya engkau memilih ugama yang pasti membahagiakan mu .”

Hal ini turut ditegaskan oleh Al Imam Ghazali Rhm. Dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin :

“ Proses pengislahan ehwal kehidupan ( berumahtangga ) tidak dapat tidak dengan mengambil perhatian serius terhadap perempuan yang ingin dikahwininya supaya kekal cinta kasih , iaitu perempuan yang ada padanya lapan perkara :

1. Berugama ( Keperibadian dan spiritual )
2. Berakhlak mulia ( Solehah )
3. Murah Mas Kahwinnya
4. Tidak mandul
5. Anak dara
6. Berbangsa ( keturunan yang baik )
7. Cantik
8. Tidak daripada kaum kerabat yang dekat .

Statement ini tidak bermakna hanya pihak lelaki yang mesti memilih calon isteri yang solehah sebaliknya kaedah yang sama perlu dipraktikkan oleh pihak perempuan untuk memilih calon suami yang soleh . Justeru perempuan turut diberi tanggungjawab yang sama oleh Allah swt. untuk menegakkan yang ma’ruf dan mencegah kemungkaran .


و المؤمنون و المؤمنات بعضهم أولياء بعض يأمرون بالمعروف
و ينهون عن المنكرو يقيمون الصلوة و يؤتون الزكوة
و يطيعون الله و رسوله أولئك سيرحمهم الله إن الله عزيز حكيم / التوبة 71

Maksudnya : “ Lelaki dan Perempuan yang beriman sebahagian mereka adalah penolong bagi sebahagian yang lain ke arah menegakkan yang ma’ruf dan mencegah kemungkaran , mereka mendirikan solat , mengeluarkan zakat serta mentaati Allah dan Rasul , mereka ini akan dirahmati Allah sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Bijaksana .”

Sabda Rasulullah saw :


إذا جاءكم من ترضون دينه و خلقه فزوجوه إلا تفعلوا تكن فتنة في الأرض و فساد عريض

Maksudnya : “ Apabila seorang lelaki yang engkau redhoi ugama dan akhlaknya masuk meminang , maka terimalah ( Kahwinilah ! ) jika tidak akan berlaku fitnah dan kerosakkan yang besar di muka bumi

( Riwayat Tarmizi )

Haikal Usrah Muslimah Tapak yang kukuh tanpa seni bina yang berkualiti jua tidak memberi sebarang erti. Usrah Muslimah sayugianya memiliki haikal yang lengkap dan sempurna menepati ‘Pelan Induk’ yang telah diutuskan oleh Allah swt. kepada nabinya Muhammad saw.

Ustaz Said Hawa telah menggariskan sepuluh perundangan Usrah Muslimah yang wajib dilaksanakan .[1]

Qanun 1: Kebersihan dan Kesucian ( النظافة و الطهارة )
Qanun 2: Sistematika , Penyusunan &
Kekemasan ( التنظيم و الترتيب و حسن الههيئة )
Qanun 3: Ketenteraman dan Kerahsiaan( خفض الصوت و كتمان الأسرار )
Qanun 4: Sistematika Ilmu dan Ibadah ( تنظيم العلم و العبادة )
Qanun 5: Belanjawan ( الإقتصاد في الطعام و الشراب )
Qanun 6: Komunikasi dan Interaksi ( العلاقة و آداب التعامل )
Qanun 7: Kesihatan dan Pergerakan Jasmani ( العناية بالصحة و الرياضة )
Qanun 8: Kawalan penghuni dan Nahi Mungkar ( حماية البيت و أهله من الشذوذ )
Qanun 9: Kejiranan dan Tetamu ( الإحسان إلى الجار و إكرام الضيف )
Qanun 10: Keluar Masuk ( مراعاة الأدب في الدخول و الخروج )

TIP USRAH MUSLIMAH CEMERLANG .

Firman Allah swt :


و من اياته أن خلق لكم من أنفسكم أزواجا لتسكنوا اليها و جعل بينكم مودة و رحمة


Maksudnya : “ Dan diantara tanda kekuasaan Allah ialah ia menciptakan untukmu isteri - isteri daripada jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan Dia jadikan diantara kamu rasa kasih sayang ....”

( Ar - Ruum 21 )

Objektifnya :

1 : Rumahtangga yang dibina atas dasar taqwa dan kesinambungan dakwah .
2 : Menghiasi rumahtangga dengan Biah Islamiyyah .
3 : Kreatif dalam memeriahkan suasana rumahtangga seperti Tazkirah , Qiam, Jaulah, Ziarah , Infaq dan persekitaran yang ceria seperti gubahan bunga , penyusunan perabot , pelan pembinaan rumah , halaman yang segar dan sebagainya .

4 : Mendalami tanggungjawab dalaman dan luaran suami isteri melalui pembacaan , perbincangan dan pengamatan .

5 : Menjadikan rumahtanggga sebagai Markaz Dakwah .
6 : Mengamal konsep Tanasuh dan Tafahum .
7 : Menunaikan hak - hak suami isteri seperti kepuasan seks , kerahsiaan dan seumpamanya . 8 : Tidak mudah buruk sangka terhadap pasangan dan mengamalkan sikap berlapang dada dalam sesuatu perkara .

9 : Pengurusan ekonomi yang sederhana dalam rumahtangga. Kreatif menambah sumber kewangan rumahtangga untuk kegunaan peribadi dan dakwah .

10 : Melibatkan diri dalam mana - mana organisasi atau Jamaah Islam dan mengikuti perkembangannya seperti keterlibatan dalam program sebagai persiapan untuk menghadapi cabaran dakwah dan bertanggungjawab sebagai Khalifah Allah di atas muka bumi .

PENUTUP .

Usrah Muslimah adalah Madrasah yang bertanggungjawab penuh melahirkan individu Muslim yang memahami tugas dan peranan mereka sebagai Hamba Allah. Lantaran itu , kejayaan sesebuah Usrah Muslimah dinilai sejauh mana ianya mampu melahirkan individu Muslim yang memiliki identiti dan kualiti Muslim Rabbani .

Kegemilangan Usrah Muslimah tidak hanya terhenti pada rupa wajah dhohir dan kebahagiaan sementara yang dikecapi di dunia ini sebaliknya bergantung kepada nilai ukhrawi yang wujud pada Usrah Muslimah tersebut .

Yang bertanggungjawab menyediakan:
Hj. Nasrudin At - Tantawi
Syukriah binti Zakaria .

[1] Sila rujuk kitab : كي لا نمضي بعيدا عن احتياجات العصر Karangan Us. Said Hawa . M/s 48 Cetakkan Darul Salam . ( cetakkan ketiga 1992 )

Tuesday, February 24, 2009

Syakhsiyyah Amilin Muttaqin


Kertas Perbahasan Liqa’ Fikri Lajnah Tarbiyyah dan Kepimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat .

Intro : 1
Kertas ini dibentang dan dibahas untuk menggariskan standard keperibadian yang mesti dimilikki oleh petugas parti atau jamaah guna melahirkan sebuah jamaah yang menepati piawaian sebuah gerakan Islam yang mu’taraf ( diiktiraf ).
Intro : 2
Tafsiran mufradad ( kalimah ) kepada tajuk kertas perbahasan ini mempunyai nilai musthalah ( pengistilahan ) yang tersendiri berasaskan persepsi Gerakan Islam dan maqasid perbahasan . Ianya adalah seperti berikut :

Syakhsiyyah :


Keperibadian yang tidak hanya berdasarkan gaya penampilan berwibawa , aksi kehidupan berhemah dan fikrah islami yang syumul tetapi turut melibatkan pembinaan asas spiritual yang tulus ( ikhlas ) dan tajarrud ( focus berpusat ) terhadap Khaliq , agama dan perjuangannya yang didokong.

Amilin :


Petugas parti atau jamaah yang memperuntukkan sebahagian besar masa , tenaga dan pemikiran bagi menggalas tanggungjawab ke arah membentuk sebuah jamaah yang berkeupayaan tinggi mendepani cabaran dan menyerap tekanan .

Muttaqin :

Nilai ketundukkan dan kepatuhan tanpa berbelah bahagi kepada Allah swt dalam melaksanakan amanah perjuangan suci ini serta memiliki kualiti pengabdian diri yang melayakkan untuk menjadi seorang tokoh hamba.

Intro : 3

Perbahasan kertas ini bukan sahaja memerlukan penglibatan dan penghayatan semua anggota parti , malah apa yang lebih diperlukan ialah mencerna dan menterjemah kandungan perbahasan kertas ini dalam setiap agenda , program dan aktiviti jamaah samaada secara amal jamaei atau amal fardi berasaskan kesesuaian .

NoTis PemBenTukkan SyaKhSiyyaH AmiLin MutTaqiN .

Demi jiwa serta penyempurnaan ciptaannya , maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasiqan dan jalan ketaqwaan . Sesungguhnya beroleh kemenanganlah mereka yang menyucikan jiwanya dan beroleh kerugianlah mereka yang mengotorkannya .

Surah Asy Syams : Ayat 7 – 10

Ayat di atas mendedahkan kepada kita bahawa di hadapan setiap amilin ada dua persimpangan , iaitu :

· Jalan Taqwa
· Jalan Fujur

Demikian juga ayat ke 3 dari Surah Al Insan yang turut membongkar keadaan jalan bersimpang dua dihadapan amilin , iaitu :

· Jalan Syukur
· Jalan Kufur

Sesungguhnya kami menunjuki jalan yang lurus . Terpulanglah samaada ia menjadi insan yang bersyukur atau insan yang kufur . Memilih laluan yang terbentang di hadapan , bukan sahaja Amilin perlu membuat pilihan yang betul dan tepat , tetapi juga memastikan stamina dan skil yang tinggi untuk sampai ke destinasi di penghujung jalan tersebut .

Tidak sukar untuk memilih jalan yang betul , justeru ia telah dipasang tanda arah yang jelas . ( Hanya kedegilan dan keangkuhan menjadikan insan tidak melangkah mengikut tanda arah .) Apa yang sering berlaku ialah , mereka telah berada di jalan yang betul tetapi malang , mereka gagal sampai ke destinasi ekoran tidak memiliki stamina yang mencukupi dan tewas pula apabila berhadapan dengan cabaran di sepanjang jalan tersebut lantaran tidak mempunyai skil yang mantap .

Bertitik tolak dari sinilah , sayugianya stamina dan skil Amilin parti atau jamaah perlu dibentuk dan dibina agar tidak mengalami kekejangan atau stroke dalam perjalanan dakwah yang serba mencabar serta jauh dan panjang ini .

ModuL QuRaNi AsaS PemBentuKan SyakHsiyyaH AmiLin MutTaqiN

Demi masa ! Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh dan berpesan – pesan dengan kebenaran serta berpesan – pesan dengan kesabaran .

Surah Al – Asr : Ayat 1 – 3

Modul Satu : إصلاح العاملين لذاته


· الإيمان بالله Beriman kepada Allah dengan memahat Aqidah Rabbaniah di lubuk jiwa yang seterusnya melahirkan Muraqabatullah dan rasa tanggungjawab terhadap pengabdian diri kepada Allah swt.

· العمل الصالح Gerakkerja , aktiviti dan perilaku yang dibias dari Aqidah , sejurus ianya bertapak kukuh di dalam jiwa , berasaskan Manhaj Rabbani yang diutus oleh Allah swt. kepada Nabi saw. Adunan Iman dan Amal soleh dalam kehidupan amilin melahirkan Itqanul amal dalam jamaah . Iaitu amilin yang mempersembahkan prestasi dan kualiti tugas ( amal jamaei dan amal fardi ) bertahap maksimum kepada Allah swt. justeru segalanya dilakukan berasaskan keyakinan dan kewajipan bukan lagi kecenderungan yang tidak bertunjang.

Pengaruh Iman dan Amal soleh yang menguasai peribadi Amilin , menjadikan dirinya multazim ( komited ) dan Istiqamah ( aktif ) dengan segala aktiviti amal islami dianjurkan oleh jamaah , biarpun terpaksa melewati iklim perjuangan yang berkabut tebal dan petir sabung – menyabung.

Sesungguhnya orang – orang yang berkata Tuhan kami ialah Allah kemudian beristiqamah , nescaya berlumba – lumba turun ke atas mereka para malaikat lantas berkata : Janganlah kamu takut dan janganlah kamu berduka cita malah bergembiralah dengan syurga yang dijanjikan kepada kamu .

Surah Fushshilat. Ayat : 30

Kawalan Iman dan Amal soleh yang membalut naluri dan sanubari Amilin , meletakkan Amilin sebagai benteng kukuh memagari Islam dan gerakkannya . Mampu mendepani tahaddiyat ( cabaran ) kendati pun datang dari segenap arah dan berkeupayaan tinggi , menyerap kadar tekanan yang bertali arus .

Dan tatkala orang – orang yang beriman menyaksikan kehadhiran pakatan musuh yang besar lalu mereka berkata : Inilah suatu yang pernah dijanjikan oleh Allah dan rasulNya kepada kita , dan telah benarlah Allah dan RasulNya dan tidaklah bertambah di dalam jiwanya melainkan keimanan dan penyerah diri kepada Allah swt. Sebahagian dikalangan orang – orang yang beriman , tokoh yang telah benarlah janji mereka dengan Allah , maka sebahagiannya telah gugur sebagai syuhada’ membenarkan janjinya dengan Allah sementara sebahagian yang lain pula sedang menunggu giliran dan sekali – kali tidak mereka menukar janji mereka .

Surah Al Ahzab . Ayat 22 – 23

Modul dua : إصلاح العاملين لغيره · تواصوا بالحق

Wasiat dan nasihat ( dakwah ) guna memimpin dan membimbing ummah menegakkan kebenaran , berpandukan petunjuk wahyu dan sunnah sekalipun ianya sangat pahit untuk ditelan.

· تواصوا بالصبر Menenangkan ummah dengan kesabaran dalam mengharungi mehnah dan ibtila’ ( tribulasi ) di pentas perjuangan . Khasnya sewaktu bertugas menyampai dan menegakkan kebenaran , yang pastinya akan berhadapan dengan segala cabaran yang sukar dijangka.


Orang – orang yang menyampaikan risalah – risalah Allah , mereka hanya takut kepadaNya dan mereka sedikit pun tidak merasa takut kepada seseorang selain Allah swt. dan cukuplah Allah swt. sebagai Tuhan yang membuat perhitungan.

Surah Al Ahzab . Ayat : 39

Modul kedua ini berorientasi untuk mengislahkan ( memulihara ) mujtama’ ( masyarakat ) , seterusnya membina Daulatul Faadhilah ( negeri yang penuh kemuliaan justeru mendapat ganjaran metarial dan keampunan ilahi ) dan Ummatus Soolehah ( ummat yang terbaik dengan mewujudkan 3 elemen terpenting ).[1]

Amilin tidak sewajarnya mengurung mesej atau syariat yang diperjuangkan ini , di dalam empat penjuru dinding markaz atau pusat tarbiyyah , sebaliknya beraksi membawa syariat Islamiyyah yang diperjuangkan ke tengah – tengah masyarakat dengan tidak lupa pula persiapan dan persediaan bagi menghadapi segala kemungkinan yang akan dihadapi .

Segala sarana dan wasilah yang soleh dan bermanafaat mahu pun bersifat tradisi atau modern , hendaklah digunakan secara integrasi positif bagi merealisasikan modul kedua ini . Ianya adalah salah satu dari kaedah strategik ke arah membina liga dakwah bertaraf international dan melepasi segala sempadan geografi malah turut menembusi sempadan emosi .

NiLai StraTegik BaGi ModuL BerkeMbaR .

2 modul berkembar ini dibina di atas sumpah Ilahi , iaitu Demi Masa ….. manusia dalam kerugian…. Kecuali mereka yang mengambil dan menghayati 2 modul yang dimaksudkan tersebut. Penegasan ini membawa nilai erti bahawa : Jamaah kita dalam kerugian atau kemusnahan , demikian juga para pemimpin dan amilin kita dalam kerugian atau kemusnahan seandainya 2 modul ini tidak dilaksanakan .

2 modul berkembar ini bertaraf WAJIB LAKSANA . 2 modul berkembar ini pula mempunyai 4 anasir pembentukkan Syaksiyyah Muttaqin :

العقيدة الربانية
الإلتزام لشريعة الله
المجاهدة بالحق
الصبر و المصابرة

Seandainya tiada 4 unsur ini ! Amilin kita tiada SYAKHSIYYAH MUTTAQIN Tiada Aqidah Rabbaniah, membawa kepada kufur. Tiada Iltizam Lisyariatillah , membawa kepada futur . Tiada Mujahadah bilhaq , Kebatilan berleluasa . Tiada As Sobru wal Musobirah ,Gagal capai matlamat .

Top Up 15 NiLai TamBaH SyakHsiyyAh AmiLiN MutTaqiN .

1. Tidak takut celaan orang yang mencela ( bersedia menerima kritikan )
2. Tidak gentar menghadapi risiko . ( tahu bagaimana mengurus risiko . )
3. Berani mencuba . ( tidak prejudis )
4. Semangat mahukan perubahan . ( tidak statik atau kaku )
5. Tidak memusuhi idea - idea baru atau pendekatan - pendekatan baru.
6. Tidak membezakan tugas atau terlalu memilih kerja - kerja jamaah .
7. Tidak emosional sebaliknya bertindak rasional .
8. Tegas dan tidak mudah merajuk.
9. Memberi dan menerima .
10. Menunaikan hak orang lain dan tanggungjawab diri sendiri .
11. Bersikap tolerensi terhadap pandangan orang lain
dengan tidak menyangka hanya pendapatnya sahaja yang betul .
12. Mengutamakan syura daripada pendapat sendiri .
13. Optimis dengan kemenangan Islam .
14. Memiliki fizikal yang baik , minda yang cerdas ,
prinsip yang berwibawa dan disiplin yang baik .
15. Pengaruh dan penerimaan masyarakat terhadap peribadi dan perjuangannya .

SaLaM PenuTuP.

Lajnah Tarbiyyah dan Kepimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat sangat mengharapkan agar Dewan Pemuda PAS Negeri dan Kawasan , berjaya membentuk Amilin yang mempunyai nilai Syakhsiyyah Muttaqin sebagai jentera parti atau jamaah kita . Sebagaimana arahan dan peraturan yang telah di ‘tampal’ melalui pekeliling Ilahi :


Wahai orang – orang yang beriman ! Jadilah Pembantu Allah ( orang – orang Allah ) sebagaimana telah berkata Nabi Isa ibnu Maryam as. Kpd pengikutnya , siapa yang sedia menjadi pembantuku untuk menegakkan agama Allah , berkatalah pembantunya , kamilah penolong agama Allah ! Maka beriman sebahagian dari kalangan bani Israel dan sebahagiannya kufur . Lalu diberi sokongan kemenangan akan orang – orang yang beriman ke atas musuh – musuh mereka dan akhirnya jadilah mereka golongan yang beroleh kemenangan .
Surah As – Soff . Ayat : 14


[1] 3 elemen penting itu ialah sebagaimana yang telah digariskan oleh Allah swt di dalam surah Ali Imraan Ayat 110 :

Kamu adalah ummat yang terbaik , yang dilahirkan oleh Allah dikalangan ummat manusia . Kamu menegakkan ma’ruf ( syariat ) dan mencegah kemungkaran ( maksiat ) dan kamu beriman kepada Allah swt .

Jikalau ahli kitab beriman kepada Allah , itulah yang terbaik untuk mereka . dikalangan mereka ada sebahagiannya beriman dan kebanyakkan mereka adalah golongan yang fasiq ( melakukan kerosakkan ).

3 Elemen tersebut ialah :

· Al Amrubil Ma’ruf ( menguatkuasakan syariat )
· An Nahyu anil Mungkar ( mencegah kemungkaran )
· Al Imanubillah ( beriman/yakin kepada Allah swt.)

Sunday, February 22, 2009

Kredebiliti Naqib Sebagai Faktor Yang Menjayakan Usrah



Walau bagaimanapun kejayaan usrah banyak bergantung kepada kredibilti seorang naqib yang memenuhi kriteria sebagai seorang naqib. Naqib sebagai fasilitator, sebagai kaunselor, sebagai ibu, sebagai bapa, sebagai biro pengaduan awam, sebagai sahabat, sebagai pengurus, sebagai pembimbing.


Kerana ia bukan sahaja orang yang berjumpa secara formal tetapi juga secara tidak formal. Naqib bukan sahaja orang berjumpa seminggu sekali atau dua kali seminggu dalam majlis usrah, malahan lebih daripada itu yang menjangkau masa dan sempadan.


Ciri-Ciri Naqib Yang Berkaliber

1. Naqib mesti memahami konsep usrah dan perlaksanaanya.

Apabila naqib memahami konsep ini barulah usrah dapat melahirkan out put yang baik. Sekiranya seorang yang menjadi naqib ia sendiri tidak memahami apakah pengertian usrah. Atau pun ia sendiri tidak pernah melalui program usrah. Apa akan terjadi dengan usrah yang dibawa.


Oleh kerana ia tidak memahami konsep usrah maka ia akan bawa usrah seperti ceramah, kuliah, membaca kitab kuning. Ia tidak boleh membawa usrah mengikut kehendak jamaah dan boleh dikaitkan dengan jamaah dan isu-isu yang berkaitan dengan kehidupan untuk mengukuhkan jamaah.


Apabila ia memahami konsep usrah maka kesan usrah dapat dilihat. Banyak perkara kelemahan dalam jamaah boleh diatasi. Misalnya ahli usrah lemah dari sudut ukhwah maka ia memberi penekanan dalam usrah mengenai kepentingan ukhwah begitulah seterusnya. Semuanya ini tidak akan dapat dihasilkan sekiranya naqib tidak faham konsep usrah dan tanggungjawab beliau sebagai seorang naqib.


Seperti pepatah Arab menyebut “Orang yang faqir ia tidak boleh memberi apa-apa”.


2. Memahami tasawwur Islam dan gerakan


Naqib/ah mesti memahami Islam dan dasar perjuangan . Naqib mesti memahami Islam dari sumber yang sejati. Kerana Islam ialah suatu peraturan yang meliputi semua lapangan hidup, Islam merupakan negara dan tanah air atau kerajaan dan rakyat. Islam merupakan kebudayaan, undang-undang atau ilmu pengetahuan dan kehakiman.

Jangan di bawa perkara khilafiah dalam jamaah kerana ini akan membawa perbalahan sesama sendiri. Kefahaman dan keseragaman bertindak dengan ilmu akan memudahkan untuk bertindak. Oleh itu sekiranya seorang naqib yang tidak mempunyai syarat-syarat yang berkenaan akan berhadapan dengan berbagai kesusahan dari kalangan mereka yang berbagai jenis manusia dan kedudukan.

Memahami hati budi orang bawahan dan ini yang perlu diberi penekanan dalam usrah. Jika ahli usrah orang kedekut perbanyakkan hal-hal dan kemuliaan sifat pemurah. Sekiranya mereka orang yang penakut, berikan keutaaman tentang kelebihan berjihad di jalan Allah. Sekiranya anak buah orang yang tidak istiqamah maka terangkan kelebihan orang yang tetap pendirian dan balasan orang tidak tetap pendirian.

3. Ikhlas dalam amal sebagai seorang naqib

Satu perkara yang senang disebut tetapi sukar dilaksanakan ialah ikhlas dalam tindakan dan amal. Perkara inilah yang menjadi kekuatan dan ketahanan kepada seorang naqib. Apabila ia berjaya melazimkan dirinya dengan sifat ini maka ia akan mendatangkan natijah yang baik kepada gerakan Pas.

Hatinya tidak ada yang lain melainkan untuk melihat Islam berdaulat. Mengikhlaskan niat kerana Allah. Hati yang tidak tulus tidak bermakna ketika datang kedalam majlis usrah. Hati yang kotor juga tidak boleh mengeluarkan kesan yang baik kepada usrah.

Firman Allah swt . Maksudnya :

Dan tidaklah mereka itu diperintahkan melainkan supaya semua menyembah Allah, dengan tulus ikhlas menjalankan agama untuknya semata-mata, berdiri lurus dan menegakkan solat serta menunaikan zakat dan demikian itulah agama yang benar

(Al-Bayyinah:5)

Sabda Rasulullah saw


إنما الأعمال بالنيات و إنما لكل امرء ما نوى

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang itu apa yang diniatkan


4. Iman yang mendalam

Keyakinan hanya dengan Islam, sekiranya mempunyai ilmu dan kefahaman tetapi iman yang nipis dia tidak boleh memberikan apa-apa kebaikan untuk perjuangan. Keimanan yang mantap sahaja akan membolehkan ia menghadamkan fikrah perjuangan Islam kepada anak buahnya. Kerana kekuatan jamaah Islam terletak kepada kekuatan iman yang sejati dan mendalam.

Perjuangan tanpa iman yang sejati akan gugur dipertengahan. Bagaimana seorang naqib boleh menerapkan iman kepada anak usrahnya sekiranya beliau masih nipis Iman. Rasulullah SAW menunjukkan bagaimana Iman yang mantap menyebabkan para sahabat sanggup sehidup semati.

Contohnya ketika baginda berhadapan dengan tentera Ahzab, baginda sudah mempunyai cita-cita untuk menawan Rom dan Parsi. Ini satu contoh bagaimana iman yang mantap telah memberi motivasi kepada baginda untuk menaikkan semangat yang waja di kalangan para sahabat.

Firman Allah SWT Bermaksud :

Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera ahzab, berkatalah mereka: “Inilah yang telah dijanjikan kepada kamioleh Allah dan RasulNya, dan benarlah (apa yang telah dijanji oleh) Allah dan RasulNya” dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat itu) tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan dari mereka bulat-bulat kepada Allah.”

(Al-Ahzab: 33:22)

5. Memahami organisasi jamaah.

Naqib yang tidak memahami organisasi dan tabiat jamaah ia hanya bercakap atas awan. Tidak berpijak kepada bumi yang nyata. Usrah bukan teori tetapi diiringi dengan praktikal.

Sekiranya naqib tidak melibatkan diri dengan Pas ia tidak akan sampai kemana arah perbincanganya. Oleh itu naqib kena memahami struktur organisasi Pas. Jangan seorang naqib tetapi ia sendiri tidak melibatkan dalam oragnisasi pas, ini memumkinkan ia akan membawa ahli jamaah keluar daripada landasan fikrah jamaah.

Bagaimana mungkin ahli usrah hendak melibatkan diri dalam pilihanraya sekiranya naqib sendiri tidak terlibat dalam pilihanraya. Bagaimana jamaah hendak berkembang jika naqib sendiri tidak membawa ahli untuk beriltizam dengan jamaah.

6. Mengeratkan jalinan ukhwah

Naqib perlu melakukan program yang boleh mengeratkan hubungan persaudaraan seperti menziarahi ahli yang sakit atau ditimpa musibah,mengucap tahniah kepada kepada anggota yang berjaya, menolong mereka yang memerlukan, mengucap takziah atas kematian, menghulurkan bantuan kewangan, memberi hadiah sempena hari sahabat mendapat anak atau harijadi .

Sabda Rasulullah SAW :تهادوا تحابوا

Bermaksud : “Berilah hadiah nescaya engkau dikasihi” Sabda Rasulullah SAW Bermaksud : Allah akan sentiasa dalam (menunaikan) keperluan hamba selagi hamba itu dalam (usaha menunaikan) keperluan saudaranya.

7. Perbanyakkan amalan fardi

Sebagai seorang naqib sudah tentu bebanan dan tugas yang terpaksa dipikul. Oleh itu naqib memerlukan kekuatan rohani agar kita tidak terpesong daripada landasan perjuangan yang telah digariskan oleh jamaah. Apabila kita mempunyai benteng pertahanan ini maka ia akan menjadi asas yang kukuh untuk kita istiqamah dalam perjuangan.

Maklum sahajalah perjuangan Pas yang mempunyai rintangan yang banyak dan banyak pula karenah anak buah maka sudah tentu kita memerlukan kekuatan rohani yang kuat. Oleh itu kita kena menjaga ibadat dengan baik, berzikir dengan banyak, berdoa yang ma’thur, beristighfar kepada Allah dan bersalawat kepada junjungan besar nabi Muhammad saw. Muhasabah diri sendiri supaya dapat membuat penentuan hidup.

Kata-kata Saidina Umar RA : حاسبوا أنفسكم قبل أن تحاسبوا

Bermaksud “Hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung dihadapan Allah SWT

8. Menunjukkan suri teladan yang baik.

Naqib sebagai role model dan diperhati oleh anak buah. Syaksiah dan tingkah laku naqib sering menjadi ikutan dan bualan. Thiqah di kalangan anak buah perlu bagi menjayakan satu usrah. Naqib kena pastikan ia lebih baik daripada anak buah. Samaada dari segi pakaian, percakapan, tingkahlaku, pergaulan, sikap, hal ehwal keluarga, komitmen kita dalam jamaah seperti mesyuarat, menghadiri program jamaah, penglibatan anak-anak kita dalam jamaah semuanya menjadi tontonan di kalangan semua ahli usrah.

Firman Allah SWT Bermaksud :

Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebaikan sedang kamu melupakan diri kamu sendiri padahal kamu membaca al-Kitab (Taurat). Maka tidakkah kamu berfikir”.

Al-Baqarah:44

9. Benar


Naqib mestilah benar di dalam niat, perkataan dan pekerjaannya jangan sekali-kali ada penipuan atau pendustaan. Berkata benar sekalipun kepada diri sendiri kerana takut kepada Allah dan tidak takut kepada celaan orang. Sifat dusta adalah sifat yang paling jahat dan hina malahan ia menjadi pintu masuk kepada tipu daya syaitan. Sekiranya naqib tidak benar dalam ucapan dan tindakan maka ia akan memberi kesan yang buruk kepada usrah yang dipimpin

Sabda Rasulullah SAW Bermaksud :

Sesungguhnya sifat benar membawa kepada kebajikan dan sesungguhnya sifat kebajikan itu membawa ke syurga. Seorang yang sentiasa bersifat benar hinggalah ia dicatat disisi Allah sebagai seorang yang benar. Dan sesungguhnya sifat dusta itu membawa kepada kezaliman (kejahatan) dan kejahatan itu membawa kepada neraka. Seorang lelaki yang sentiasa berdusta sehinggalah dicatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta”.


10. Sabar

Tanpa sabar naqib tidak dapat mencapai target yang dicita-citanya, kerana kerja membentuk manusia bukan satu perkara yang mudah. Ia memerlukan satu kesabaran yang padu serta himmah yang tinggi untuk melaksanakannya. Mesti sabar atas karenah ahli usrah yang berbagai ragam dan tindakan kesabaran sahaja yang akan boleh menjayakan perlaksanaan usrah

Firman Allah SWT Bermaksud :

“Dan kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah kami ketika mereka sabar”.

As-Sajadah:24.
11. Tawaduk

Sifat ini orang ramai lebih senang untuk menerima dan mendengar nasihat atau percakapan kita. Sifat takabur menyebabkan kita terhijab dari kebenaran dan rahmat Allah untuk sampai ke hati manusia. Sifat tawaduk menyebabkan orang lain akan tertarik dengan apa yang kita sampaikan.

Seorang naqib yang mudah bergaul dan tidak sombong dengan ahli usrah akan menambahkan keakrabannya antara mereka. Seorang naqib hendaklah terlebih dahulu menegur ahli usrahnya bukan sebaliknya, supaya menampakkan sifat tawaduk

Sabda Rasulullah SAW Bermaksud :

Tidak akan memasuki syurga sesiapa dalam hatinya terdapat sebesar zarrah (sedikit) sifat takbur

Riwayat Muslim

12. Pemurah

Seorang naqib mesti jangan kikir. Sifat kedekut akan menjauhkan ikatan ukhwah. Biasakan untuk menghulur kepada mereka yang berhajat. Sentiasa memberi keutamaan kepada mereka yang memerlukan bantuan. Sifat pemurah ini akan membuahkan natijah yang baik.

Sekiranya anak buah usrah saudara orang yang kikir maka latih dan tunjukkan kepada mereka kebaikan orang yang pemurah melalui amalan yang saudara tunjukkan.

Firman Allah SWT : ومن يوق شح نفسه فأولئك هم المفلحون

Bermaksud “Dan siapa yang dipelihara daripada tabiat bakhilnya mereka itulah orang-orang yang berjaya

Al-Hasyr, 59:9

Sabda Rasulullah SAW Bermaksud :

Tidak ada suatu haripun yang dilalui oleh seorang hamba kecuali (hari-hari) didatangi oleh dua Malaikat lalu seorang darinya berdoa: “Ya Allah, berikanlah ganti kepada sihamba yang menafkahkan hartanya”. Manakala Malaikat yang kedua berdoa: Ya Allah, berikanlah kebinasaan kepada si hamba yang bakhil ini”.

13. Suka menolong (ringan tulang)

Saudara menampakkan kepentingan mereka melebihi daripada kepentingan diri saudara. Secara tidak langsung akan menambahkan ikatan kepercayaan di kalangan orang bawahan.

Apabila anak usrah melihat saudara orang yang ringan tulang untuk menolong maka secara tidak langsung akan memberi kepercayaan yang lebih kepada saudara. Peristiwa yang ditunjukkan oleh nabi SAW dalam peperangan Khandak memberi kesan yang mendalam kepada pengikut nabi kerana melihat baginda turut serta menggali parit.

14. Bijak bergaul

Seorang naqib yang baik ia akan bermuayasyah (hidup) dengan ahli usrah. Tidak banyak protokol. Senang di bawa berbincang di kalangan anggota. Jangan ada pilih kasih di kalangan anggota sehingga mereka terasa tersisih daripada kumpulan usrah.

Peranan Dan Tanggungjawab Naqib

1. Mereka perlu menyedari bahawa mereka adalah pemimpin dan pendidik kepada kumpulan usrah. Dengan itu mereka perlu menunjuk suri teladan yang baik kepada ahli usrah.

2. Berkewajipan menyalurkan ilmu dan mendidik anggota usrah dalam bidang agama, fikrah jamaah.

3. Memastikan kandungan usrah disampai mengikut kehendak usrah dan jamaah.

4. Memastikan perjalanan usrah seiring dengan pembinaan jamaah dan organisasi.

5. Memupuk ukwah di kalangan anggota samaada di dalam usrah atau diluar.

6. Menggalakkan mereka supaya melakukan amal ibadah sunat seperti puasa sunat, solat sunat dan sebagainya.

7. Sentiasa menggalakkan ahli usrah mempunyai semangat pengorbanan yang tinggi terhadap Islam dan sanggup melakukakan kerja-kerja amal Islami.

8. Naqib mesti menunjukkan kesungguhan di dalam satu kerja jamaah supaya ia menjadi contoh kepada anak usrahnya seperti menghadiri mesyuarat, program jamaah, program pilihanraya dan sebagainya.

9. Menggalakkan ahli usrah menyediakan tabung usrah supaya dapat melatih ahli untuk menderma walaupun sedikit dan wang ini boleh digunakan sewaktu kecemasan dan membantu meringankan beban di kalangan ahli usrah.

10. Naqib mestilah juga mahir dalam organisasi jamaah supaya ia dapat memnyelesaikan konflik organisasi dengan cepat.

11. Memastikan aliran maklumat yang perlu disampaikan kepada ahli usrah daripada pimpinan tertinggi dapat salur dengan baik.

12. Sentiasa memantau ahli usrah supaya dapat kita melihat potensi diri yang ada pada ahli usrah untuk diletak dan diberi peranan dalam kepimpinan dan amanah dalam jamaah.

13. Menyelesaikan dengan segera permasalahan yang berlaku tanpa bertangguh, kerana masalah yang kecil jika tidak diselesaikan dengan segera akan mendatangkan masalah yang lebih besar.

Kesimpulan

Perjalanan usrah yang mengikut method yang sebenar akan berjaya melahirkan mereka yang unggul dari segi peribadi dan agresif dalam melaksanakan kerja-kerja jamaah.

Perlaksanaan usrah yang berkesan banyak bergantung kepada kehebatan naqib yang mengendalikan usrah, kerana ia adalah tunjang kepada perlaksanaan usrah. Sekiranya perlaksanaannya tidak tepat seperti yang dikehendaki oleh usrah ia tidak akan dapat memberi apa-apa kesan yang baik untuk peribadinya dan juga jamaah.

Kelazatan akan dirasai mereka yang mempraktikkan apa yang diarahkan di dalam usrah.

Thursday, February 19, 2009

Harakah Islamiyyah & Peranan Ulil Albab .

INTRO

Kertas kerja ini dikemukakan dalam bentuk objektif dan rangka aktiviti yang mesti direalisasikan dalam hidup seorang muslim yang memiliki ‘ knowledge ’ dan potensi intelektual .Kertas ini jua berfungsi memecah kebuntuan dan melerai kekusutan yang dihadapi oleh sebahagian mahasiswa dan graduan muslim dewasa ini .

Sementara perbincangannya pula dalam bentuk fikratul amal yang turut dikombinasikan bersama realiti ummah kini dengan pengalaman sejarah silam yang nyata telah menyaksikan kejayaan demi kejayaan dicipta dan dibuktikan .

POSISI ULIL ALBAB ( INTELEKTUAL ).

Ulil Albab telah mendapat Tauliah Agong daripada Allah untuk beraksi :

Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).

( At - Taubah 122 )

Tauliah ini jugalah yang telah dianugerah kepada Rasulullah saw . “ Wahai orang yang berselimut! Bangun lalu berikan peringatan .

( Al Muddathir 1-2 )

Tauliah ini berorientasikan ‘reformasion’ , daripada : Pengabdian diri sesama makhluk kepada mengabdikan diri kehadhrat ilahi Kedhaliman ideologi manusia kepada keadilan Islam . Kesempitan dunia kepada keluasan akhirat. Asas reformasi yang di perjuangkan oleh Rasulullah saw . ialah ;

Pengabdian diri kepada Allah dan menjauhkan Toghut
Memastikan kesedaran dan keinsafan
Mendhohirkan ugama Islam mengatasi ideologi dan ugama ciptaan manusia .
Mendaulatkan syariat dan menyelia muka bumi berasaskan syariat .

Perjuangan ini diwarisi oleh Ulil Albab atau Ulama’ justeru mereka adalah agen yang berupaya menentang kejahilan ( yang merupakan virus utama membawa wabak kekufuran .) sekaligus menjadi arkitek untuk mengawal proses reformasi itu agar ia berakhir di persada rahmat dan redho ilahi . ( العلماء ورثة الأنبياء )

HARAKAH ISLAMIYYAH

Harakah Islamiyyah adalah Jana Kuasa yang menggerakkan jentera perjuangan dan dinamika pejuang di sepanjang zaman . Ianya suatu ketumbukan yang lahir merentas zaman guna memenuhi tuntutan ilahi sehingga Khilafah menjadi milik Islam sepenuhnya . Firman Allah swt:

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai dan berselisihan (dalam ugama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.

( Ali - Imran 104 -105 )

CIRI - CIRI HARAKAH ISLAMIYYAH .

Sifat yang terkandung dalam ayat 54 surah Al Maidah .

· Syumul
· Universal
· Pengalaman di medan juang
· Iltizam dengan Amal Islami .
· Berlandaskan Manhaj An - Nabawi .

Firman Allah swt : Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela.

Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya. Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada ugama) Allah, itulah yang tetap menang.

( Al - Maidah 54 -56 )

TANGGUNGJAWAB DAN PERANAN ULIL ALBAB .

Kepimpinan ummah pastinya dikemudi oleh Ulil Albab dan kepimpinan itu pula tidak akan berfungsi tanpa jana kuasa yang menggerakkannya .Namun keupayaan dan potensi sebenar Ulil Albab tidaklah hanya berdasarkan ijazah dan ilmu yang mereka miliki semata - mata ,sebaliknya persiapan berikut ini wajiblah dilaksanakan :

· Membina aqidah ( keyakinan ) yang mantap .
· Memiliki etika dan disiplin syakhsiyyah Islamiyyah yang tinggi .
· Mendasari tasawwur Islami dan amalnya dengan jelas .
· Berda’awah dan deklarasikan kebenaran .
· Tegas bersama syariat .
· Menghayati ciri dan watak kepimpinan Islam tulen .
· Berintima’ dengan Harakah Islamiyyah dan memenuhi segala syarat intima’ seperti wala’ , dengar dan taat , pengorbanan , keikhlasan , persaudaraan , istiqamah dan lain - lain .[1]

5 PENEGASAN BUAT ULIL ALBAB .

· Ulil Albab sewajarnya berjiwa besar dengan semangat menjiwai kepimpinan ummah justeru kepimpinan negara mesti dikuasai oleh Ulil Albab . Jika tidak , bukan saja para juhala’ yang akan bermaharajalela tetapi juga Ulil Albab akan terus dikuasai .

· Ulil Albab adalah tenaga pendesak yang berkualiti dan berpotensi untuk membasmi kemungkaran serta membina roh spiritual dalam iklim sosial di atas runtuhan kemungkaran tersebut .

· Ulil Albab merupakan jentera yang dinamis untuk bangkit menggerakkan ummah dari tidur yang lena dan mengepalai delegasi jihad fi sabilillah tatkala menentang kerakusan mustakbirin seraya meniupkan api kesedaran dan semangat berjuang .

· Ulil Albab lambang kualiti dan identiti ummah , justeru itu berwaspadalah dalam setiap langkah agar ia tidak memulangkan kesan negatif kepada syakhsiyyah ummah, maka selayaknya Ulil Albab mewarisi syakhsiyyah Rijaluddin dengan memiliki identiti berikut :

1. Aqidah yang sejahtera سليم العقيدة
2. Ibadah yang benar صحيح العبادة
3. Akhlak yang kontan . ( متين الخلق )

· Ulil Albab tidak seharusnya larut dalam konflik sosial dan hanyut dibawa arus persaingan material yang tidak pernah mengenal simpati ke atas mangsanya . Sebaliknya Ulil Albab mesti berhemah tinggi dan tidak berasa sempit dada , resah dan gelisah dalam mengharungi badai gelombang kehidupan dunia dan konspirasi durjana musuh - musuh Allah .

Firman Allah swt : Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka:" Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya".

Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah. Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.

( Al Ahzab 22 - 23 )

BAGAIMANA ULIL ALBAB BERJUANG.

· Intisari dari surah As - shoff .
Mentaqdiskan Allah Azza Wajalla sehingga tiada yang agong selain Allah .
Qudwah hasanah menjadi slogan perjuangan Kombinasi tenaga yang membentuk Amal Jamaei yang utuh .
Menghadapi mehnah perjuangan yang berkesinambungan di sepanjang zaman.
Mengenal tahap kegigihan musuh memerangi Islam.
Mesej dan silibus perjuangan kita ialah ugama yang benar .
Mewaqafkan diri untuk perjuangan Islam dengan pulangan yang lumayan.

Yakin lah , pertolongan hanya dari Allah , justeru itu apa ada pada manusia . Kemenangan perjuangan adalah suatu yang pasti dan hampir . Membantu ugama Allah dengan segala apa yang ada sebagai syarat kemenangan .

· Intisari dari surah At - Taubah dari ayat 38 hingga 45 .

Jangan menukar perjuangan dengan mata benda dunia .
Awas ! tidak memberi intima’ kepada perjuangan Islam adalah suatu dosa.
Kita yang memerlukan perjuangan bukan perjuangan memerlukan kita.
Usah gentar dengan kehebatan musuh justeru Allah bersama kita .
Perjuang ini tidak bermusim dan tidak pula mempunyai pilihan .
Tribulasi dan kesukaran berjuang adalah episod perjuangan sepanjang zaman .
Tiada dolak - dalih dan alasan helah untuk tidak melibatkan diri dengan jihad ini.

ADUHAI ULIL ALBAB !!

( intelektual ) Menimba dan memiliki ilmu adalah suatu yang terpuji tetapi tidaklah ia dipuji lagi apabila ia menjadi si Alim Himar .

Firman Allah swt ; (Sifat-sifat Nabi Muhammad itu telahpun diterangkan dalam Kitab Taurat tetapi orang-orang Yahudi tidak juga mempercayainya, maka) bandingan orang-orang (Yahudi) yang ditanggungjawab dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul bendela Kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.

( Al Jumuaah 5 )

[1] Al Imam Hasan Al banna menggariskan Arkanul baiah bagi mereka yang memberi intima’ kepada Harakah Islamiyyah : أركان بيعتنا عشرة فاحفظوها : الفهم و الإخلاص و العمل و الجهاد و التضحية و الطاعة و الثبات و التجرد و الأخوة و الثقة .